Pengendali utama Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Hector Bidogio enggan memandang remeh akan cabaran mampu diberikan oleh lawan mereka pada hari ini iaitu Terengganu bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2024/2025.
Tampil dengan status juara bertahan, sudah tentu pelbagai persiapan rapi telah dilakukan jurulatih berpengalaman itu bagi memastikan JDT meraih keputusan positif pada aksi pertama tersebut.
Apatah lagi aksi itu juga akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang merupakan kubu kuat pasukan Sang Penyu selain kelibat penyokong ke-12 tuan rumah juga mampu mempengaruhi JDT.
Setelah cemerlang menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) di pusingan suku akhir, momentum semasa JDT kini berada pada tahap terbaik untuk mengharungi peringkat terbaharu itu.
Walaupun begitu, Bidoglio enggan mengambil mudah akan cabaran Terengganu dengan beberapa peringatan turut diberikan kepada anak-anak buah beliau.
Malah, Bidoglio juga mahu tampil lebih berhati-hati dalam mempersembahkan corak permainan demi mengelak sebarang kemungkinan tidak diduga mampu dicipta oleh skuad kendalian Badrul Afzan Razali.
It's matchday!
⚽ TERENGGANU vs JDT
🏆 Piala Malaysia 2024/25
🏟 Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium, Gong Badak
🕘 21:00#TERvJDT#PialaMalaysia#WhatCanYouDo#TheTMJeffect#LuaskanKuasamuJohor#JDTforAll pic.twitter.com/rOYSbGVNE9— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) January 17, 2025
Ini kerana Terengganu juga dianggap memiliki beberapa pemain berkualiti dan mampu memberi cabaran getir buat JDT sepanjang mengharungi aksi tersebut.
“Piala Malaysia amat penting bagi JDT dan apabila sudah berada di tahap ini, pastinya kami tidak mahu terlepas peluang memburu slot ke final, sekali gus mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
“Untuk itu, pemain perlu memberi tumpuan penuh di atas padang dan bermain dengan corak permainan yang konsisten, pemain juga tidak boleh melakukan kesilapan mudah sepanjang 90 minit perlawanan itu,” kata beliau menerusi Utusan Malaysia.
Pada masa sama, Bidoglio mengakui sedia untuk membuat perubahan taktikal dalam permainan memandangkan mereka akan terus bertemu Terengganu lagi di persaingan liga serta aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia.
“Kami akan menentang TFC sebanyak tiga kali, dua aksi Piala Malaysia dua kali dan satu aksi Liga Super. Jadi, kita perlu memandang serius pertemuan ini dan sentiasa bersedia dengan perubahan taktikal dilakukan,” ujarnya.
Akhir sekali, Bidoglio juga mengakui semua pemain berada pada tahap bersedia untuk dibawa turun demi memperagakan corak permainan yang sentiasa menjadi falsafah JDT.
JDT mempunyai skuad yang besar dan semua pemain sentiasa bersedia untuk beraksi sebagai sebuah pasukan. Saya akan pastikan pemain mampu mengekalkan gaya permainan yang menjadi falsafah dipegang JDT sebelum ini,” kata beliau akhir sekali.