Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan tonggak utama The Reds. Mohamed Salah susulan isu pemberian lilitan kapten yang tidak menyebelahi pemain tersebut pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bertemu Midtjylland, 10 Disember lalu.
Perlawanan di MCH Stadium itu menyaksikan Klopp telah memberikan tugasan ketua pasukan kepada pemain bek kanan, Trent Alexander-Arnold. Keadaan itu menyebabkan Salah kecewa dengan keputusan pengendali kelahiran Jerman tersebut.
Keadaan itu membuatkan bekas rakan sepasukannya di Mesir, Mohamed Aboutrika berpendapat Salah tidak gembira di Liverpool dan berkemungkinan akan dijual.
Bagaimanapun, Klopp menegaskan bahawa tiada isu antara beliau dan Salah berhubung perkara tersebut. Sehubungan dengan itu, Klopp turut mendedahkan sebab mengapa beliau memilih Alexander-Arnold bagi menggalas tanggungjawab besar itu.
”Saya pernah menjadi ketua pasukan dalam tempoh yang lama dan saya berasa ianya merupakan satu tugas yang sukar.”
”Ia sebenarnya tidak banyak kelebihan pun. Hanya menambahkan lagi kerja anda yang perlu untuk dilakukan,” ujar Klopp menurut laporan Goal.
”Jadi, saya merasakan tidaklah terlalu penting untuk berperanan sebagai kapten. Ya, kami memerlukan seseorang seperti Hendo [Jordan Henderson], ianya satu perkara yang amat jelas.”
”Tetapi untuk menjadi kapten bagi satu perlawanan, saya tak sedar bahawa ia merupakan perkara yang penting dalam kalangan pemain. Dalam dunia ini, kita sering menjadikan semua benda sebagai masalah dan saya tidak menyedari yang ianya menjadi cerita.”
”Dalam kelab ini kami mempunyai jawatankuasa pemain, Hendo adalah ketua pasukan, dan jika dia tidak bermain, ia akan menjadi menjadi milik Millie [James Milner]. Jika mereka berdua tidak bermain, diberikan kepada Virgil [Van Dijk] dan jika ketiga-tiga mereka tidak bermain, diberikan pula kepada Gini [Wijnaldum].”
”Jika mereka semua tidak bermain, kebiasaannya pemain yang paling lama berada dalam kelab ini akan menjadi kapten. Jadi itulah daripada pemahaman saya. Trent mendapat peluang itu kerana dia paling lama di kelab ini, secara profesional, bukan sahaja karier remajanya.”
”Sudagh tentu saya bercakap dengan Mo [Salah] selepas kejadian itu. Apabila saya sedar ianya tidak berhasil buatnya, saya menjelaskan padanya dan dia masih lagi bercakap tentang perkara itu di sesi temubual, di mana itu bukanlah satu masalah bagi saya.”
”Ya, dia kecewa tetapi saya tidak melakukannya dengan sengaja. Saya hanya lakukan apa yang saya perlu lakukan,” tambah Klopp lagi.
Kredit featured image: Marc Atkins/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Klopp dan Salah:
Jurgen Klopp: Sukar Untuk Menang Di England, Apatah Lagi Mendominasinya
Jurgen Klopp: Mo Salah Ditolak, Ia Jelas Merupakan Satu Kekasaran