Ini Peningkatan Mengejutkan Liverpool Selepas Ambil Jurulatih Throw-In

Pada musim 2017/18, Liverpool menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ke-4. Tewas tujuh daripada 38 perlawanan dilalui sepanjang musim, skuad kendalian Jurgen Klopp turut menjaringkan 84 gol dan dibolosi 38 gol untuk jumlah mata terkumpul 75 mata.

Pada musim yang sama, The Kops juga mara ke perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) sebelum dikecewakan oleh Real Madrid di Kiev.

Ia adalah musim yang tidaklah terlalu teruk. Tetapi ia juga bukan musim yang cemerlang buat Liverpool. Pengurusnya, Jurgen Klopp nampak banyak ruang-ruang kecil untuk diperbaiki lagi – terutamanya di bahagian set-pieces.

Pada musim 2017/18, Klopp mendapati pasukannya sering kehilangan bola selepas melakukan throw-in (lontaran dalam). Pemerhatian mata kasar Klopp disokong oleh data. 

Menurut Tifo Football, Liverpool merupakan pasukan ketiga paling teruk dalam lontaran dalam. Hanya 45.4% lontaran dalam Liverpool yang berjaya ‘disimpan’ (tidak hilang bola). 

Klopp tahu beliau perlu melakukan sesuatu untuk memperbaikinya. Tetapi beliau tak tahu macam mana. Semuanya berubah sampailah pada satu hari beliau terbaca sebuah artikel menarik di majalah sukan Jerman, Bild.

Artikel tersebut menceritakan bagaimana bek kiri Borussia Mönchengladbach Andreas Poulsen berjaya menambah jarak purata lontaran dalamnya sebanyak 14 meter selepas dilatih oleh Thomas Grønnemark.

Siapa Thomas Grønnemark

Thomas Grønnemark merupakan seorang jurulatih lontaran dalam. Mungkin beliau satu-satunya jurulatih yang mempunyai pengkhususan dalam seni lontaran dalam. Ini mungkin menjadikan beliau sebagai manusia yang mempunyai ilmu paling banyak mengenai lontaran dalam bola sepak.

Semasa muda, Grønnemark merupakan atlet semi-profesional untuk Denmark. Beliau merupakan bekas pelari pecut dan atlet bobsleigh yang hampir-hampir terpilih ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2006. Tetapi beliau paling dikenali kerana rekod dunianya dalam lontaran dalam – iaitu sejauh 51.33 meter.

Tertarik dengan artikel yang dibacanya, Klopp segera menghubungi Grønnemark untuk menjadikannya sebahagian staf kejurulatihannya. Selepas dua panggilan (panggilan pertama tidak dijawab Grønnemark kerana sedang memandu), Grønnemark bersetuju.

Pelantikan Thomas Gronnemark sebagai jurulatih lontaran dalam mendapat reaksi agak skeptik oleh orang ramai, termasuklah oleh segelintir penyokong Liverpool sendiri pada ketika itu.

“Bila bercakap mengenai lontaran dalam, ramai ingat ia bertujuan untuk menanduk masuk ke arah gawang. Bukan sebenarnya,” ketika menjelaskan logik di sebalik perlantikan Grønnemark.

“Terdapat 18 jenis lontaran dalam dan kami [Liverpool] mahu memastikan pengusaaan bola diteruskan selepas setiap lontaran dilakukan.

“Tidak ada gunanya anda memenangi lontaran, dan kemudian hilang penguasaan ketika situasi 50-50. Ia adalah satu perkembangan penting.” jelas Klopp lagi.

Dipandang sinis

“Maafkan saya, adakah anda cakap anda jurulatih lontaran dalam?

“Ambil bola ini dengan kedua-dua belah tangan, letakkan di belakang kepala dan lontarkan dengan memastikan kedua-dua kaki berpijak atas tanah,” ujar bekas penyerang Scotland, Andy Gray ketika mendengar pelantikan Gronnemark oleh Liverpool secara sinis.

Komen-komen sedemikian sememangnya sudah lali didengar oleh Grønnemark. Malah beliau sendiri menyifatkan ia adalah pekerjaan yang pelik.

“Anda boleh cakap saya sebenarnya ajar macam mana nak jadi bijak bila buat lontaran dalam. Ramai orang pandang sinis dengan pekerjaan saya. Tapi percayalah bila saya cakap ramai pemain profesional tak bijak bila buat lontaran dalam. Kalau pemain amatur dan muda, lagilah ramai, ” kata Grønnemark.

“99% pemain profesional yang saya latih memang tak pernah buat latihan lontaran dalam yang khusus. Yang pernah latih pun, tak pernah cuba semasa perlawanan peringkat tertinggi.

Hasil kerja Gronnemark

Bukti hasil kerja Grønnemark sudah menampakkan hasil; bersama kelab terdahulu. Southampton dan Manchester United adalah dua kelab Inggeris yang pernah tewas kepada Midtjylland pada 2015 dan 2016 dalam pertandingan UEFA Europa League.

“FC Midtjylland telah menunjukkan bagaimana lontaran ke dalam boleh dijadikan senjata utama di dalam bola sepak jika menggunakan teknik yang betul.

“Jika ianya terlalu tinggi, maka ianya akan mudah dipertahankan oleh lawan. Jika anda melakukan lontaran yang tepat, sedikit mendatar, dan diadun dengan sedikit gerakan taktikal, maka ia akan menjadi lebih mudah untuk menjaringkan gol,” tambah beliau lagi.

Misi Grønnemark bukan setakat mengajar pemain mengancam pertahanan lawan dengan lontaran.

Secara keseluruhan, akan ada 30 sehingga 50 lontaran ke dalam, di satu perlawanan, dan rekod menunjukkan 50% daripada lontaran menyebabkan sesebuah pasukan hilang penguasaan bola apabila ditekan oleh lawan.

Tugas lain Grønnemark ialah memastikan teknik lontaran dimaksimakan dari segi jarak, dan juga membentuk pilihan arah lontaran demi memastikan penguasaan bola terus diperolehi oleh pasukan.

“Cakap pasal kerja saya, ramai yang ingat saya kena ajar teknik jarak lontaran dalam yang jauh. Tapi sebenarnya saya juga ajar lontaran dalam pantas dan pintar, di semua kawasan padang. Liverpool adalah pasukan pertama di England yang menerima manfaat ini,” katanya.

Input di Melwood

Trent Alexander-Arnold, Joe Gomez dan Andrew Robertson adalah antara pemain yang memanfaatkan ilmu dari jurulatih yang berasal dari Denmark ini.

“Saya melihat Joe Gomez telah melakukan beberapa lontaran ke dalam berkualiti tinggi yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh beliau,” ujar bekas penyerang Arsenal, Ian Wright dalam satu perkongsian bersama Radio 5, Monday Night Club sekitar September lalu.

“Jelas sekali Gomez mempelajari sesuatu dari jurulatih [Grønnemark], dan ini pasti memberikan kelebihan kepada Liverpool.”

Andy Robertson pula pernah mendedahkan bagaimana jarak lontaran beliau meningkat sehingga sejauh 6 meter selepas menjalani latihan bersama Grønnemark, tetapi perkara yang lebih penting ialah bagaimana Liverpool mencari peluang dengan lontaran pendek, atau pun pantas.

Klopp juga mendedahkan bagaimana peranan Roberto Firmino yang terlibat untuk memburu lontaran ke dalam oleh rakan sepasukan, atau sekurang-kurangnya mencuri tumpuan pemain lawan bertujuan membuka ruang.

Dalam setahun, Grønnemark sebenarnya hanya perlu datang ke Melwood sebanyak enam ke tujuh kali sahaja. Tetapi sekali datang, beliau akan duduk di sana selama dua hingga empat hari. 

Dalam sesi latihannya pula, semua pemain akan terlibat. Termasuk penjaga gol. Semua pemain bukan sahaja akan diajar teknik melontar dengan efisien, malah turut akan diajar cara mencipta ruang untuk menerima bola.

“Kalau anda tengok Liverpool main, biasanya ada enam ke tujuh pemain berbeza yang melakukan lontaran dalam. Kalau Mo Salah berada paling dekat dengan bola, dia akan ambil lontaran dalam. Tapi hanya dalam situasi tertentu sahaja. Tak guna buat lontaran dalam laju-laju, tapi lontar ke zon tekanan.

“Bila saya analisa lontaran dalam, saya tengok macam mana nak bagi kita keluar dari zon tekanan ini. Saya tak nak kita hilang bola lepas ambil lontaran dalam.”

Idea Grønnemark

Grønnemark mempunyai idea dan pandangan tersendiri tentang bagaimana lontaran boleh digunakan untuk membantu sesebuah pasukan.

“Jika anda mahu seorang pemain bola sepak profesional tampil sebagai pemain terbaik dunia dalam melakukan lontaran, maka saya katakan anda terlalu optimistik. Kebiasaannya lontaran mereka sangat buruk.

“Lontaran yang dilakukan secara fokus dan betul boleh menyelamatkan sebuah kelab kecil, dan dianggap sebagai satu teknik untuk terus kekal bersaing.

“Tetapi untuk pasukan yang berada di kelompok atasan, ia akan membantu anda dengan corak permainan tertentu. Lontaran ke dalam sepatutnya menjadi kelebihan, tanpa mengira posisi anda di dalam saingan liga,” jelas beliau.

Secara asasnya, Grønnemark menekankan tiga jenis lontaran: lontaran jauh, lontaran yang dilakukan secara pantas untuk tujuan counter-attack dan juga lontaran yang dianggap ‘bijak’ kerana ia membantu pasukan mengekalkan penguasaan ketika lawan melakukan ‘pressing’.

Di Liverpool, Grønnemark menyifatkan Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold sebagai pelontar dalam terbaik dalam bola sepak moden.

“Masa saya mula-mula sampai, Andy tak boleh lontar lebih 19 meter pun. Ini jarak yang sangat, sangat pendek. Bila lontaran anda pendek sangat, kebarangkalian pasukan anda hilang bola jadi tinggi. Sekarang dia boleh lontar sejauh 27 meter. Ini bermakna dia dah berjaya tambah radius lontarannya sebanyak lebih 500 meter persegi.

“Ini bermakna Andy mempunyai lebih banyak pilihan kepada siapa dia nak lontarkan bola. Dia juga dah tahu bila nak buat lontaran pantas, bila nak ambil masa, di mana ruang. 

“Trent juga dah satu tahap dengan Andy. Tapi Trent ambil masa lebih lama. Di ata saya, mereka berdua adalah pelontar dalam terbaik di dunia sekarang.”

Rumusan

Bagi Jurgen Klopp, aspek lontaran adalah salah satu butiran kecil yang harus diambil berat dalam mewujudkan sebuah pasukan yang serba boleh. Adakalanya butiran yang dianggap kecil, mampu memberi perbezaan besar kepada pasukan. Itulah yang dibuktikan oleh Liverpool pada 2018.

Bermula dengan hanya 45.4% lontaran dalam yang berjaya ‘disimpan’, Grønnemark berjaya meningkatkan angka itu kepaad 68.4% – kedua tertinggi di Eropah selepas FC Midtjylland, yang turut dilatih oleh beliau.

Selain Liverpool dan Midtjylland, Grønnemark turut melatih di RB Leipzig, Ajax Amsterdam dan AA Gent. Pada musim lepas, jurulatih berusia 44 tahun ini melatih lapan kelab berlainan. 

Memasuki musim 2020/21, ia adalah musim ketiga Grønnemark bersama Liverpool. Disebabkan hasil kerjanya sudah membuahkan hasil kepada juara Champions League dan Premier League itu, sudah ramai pasukan Premier League turut mahu melamarnya. Tetapi Grønnemark ada prinsip.

“Saya takkan latih pasukan dalam liga sama dengan Liverpool. Saya juga takkan latih pasukan yang ada permusuhan tradisi dengan Liverpool, contohnya Manchester United. Saya dah terima banyak tawaran dari beberapa kelab Premier League. Tapi saya tolak semuanya. Liverpool tak halang. Cuma itu prinsip saya.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN