Pengendali Terengganu, Tomislav Steinbruckner tampil memberi pendapat tersendiri mengenai kualiti permainan dipamerkan oleh barisan pemain-pemain baharu ditandatangani mereka musim ini.
Terengganu kini menjadi antara kelab paling aktif membuat pelbagai persiapan dengan begitu rapi sebelum saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula tidak lama lagi.
Menerusi persiapan awal dilakukan mereka, Sang Penyu berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, dan Akram Mahinan.
Selepas mengharungi beberapa aksi persahabatan, Steinbruckner jelas berpuas hati dan sangat gembira akan kualiti ditampilkan para pemain baharu di atas padang.
Kelibat Akhyar, Safawi dan Akram ketika ini jelas begitu mencuri tumpuan beliau selepas Terengganu sudah pun melalui tiga perlawanan persahabatan secara keseluruhan.
Walaupun baru melalui tiga aksi persahabatan, Steinbruckner tampil memuji ketiga pemain berkenaan yang dianggap cepat menyesuaikan diri serta memahami kehendak taktikal di atas padang.
Selepas tampil sedikit suram musim lalu, pemain kelahiran Kedah iaitu Akhyar tampil beraksi dengan begitu baik di posisi sayap kanan untuk membentuk gandingan bersama Safawi di sebelah kiri serta Akram sebagai perancang utama.
“Apabila pemain sehebat Safawi dan Akhyar berada dalam pasukan, mudah buat mereka untuk menyesuaikan diri dan mengikut rentak permainan selain bersama rakan sepasukan.
“Inilah yang dikatakan kualiti individu yang ada pada mereka, begitu juga dengan Akram, kehadiran mereka pastinya akan memberikan impak yang positif sekali gus mampu memperkasakan lagi pasukan pada musim ini.
“Jadi dengan kehadiran tiga pemain itu ditambah dengan pemain sedia ada serta tonggak import, apa yang saya harapkan pencapaian pada musim ini lebih baik berbanding musim lalu,” kata Steinbruckner menerusi laporan Harian Metro.
Selain itu kehadiran penyerang import baharu mereka, Ismaheel Akinade juga turut mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong Sang Penyu selepas beliau mempamerkan ketajamannya di hadapan gol.
Selain Akinade, Terengganu turut menandatangani beberapa lagi pemain import selain mengekalkan penyerang berbisa pada tahun lalu iaitu Ivan Mamut.
Malah, barisan tempatan lain seperti Engku Nur Shakir, Shahrul Nizam, dan beberapa lagi nama turut ditagih untuk memperkukuhkan lagi Terengganu musim ini.