Pengendali skuad bawah 23 (B-23) Malaysia iaitu Juan Torres Garrido tampil berpuas hati dengan para pemain bawah kendaliannya selepas melihat kepada persiapan semasa dilakukan oleh beliau sebelum itu.
Menerusi keadaan semasa, Malaysia B-23 boleh dianggap berada dalam momentum cukup baik selepas mereka berjaya merekodkan dua keputusan positif ketika aksi persahabatan tertutup dilakukan sebelum itu bertemu India.
Apa tidaknya, sepanjang dua aksi tersebut berlangsung skuad B-23 negara berjaya merekodkan satu kemenangan serta satu keputusan seri yang dianggap mampu menaikkan momentum mereka sebelum menghadapi kejohanan Piala Asia B-23 nanti di Qatar.
Menjadi antara negara yang melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-23, ia dianggap sebagai suatu cabaran besar buat pengendali itu untuk membentuk satu skuad lebih mantap serta mampu meraih seberapa keputusan positif di sana.
Setakat ini, Garrido mengakui beliau sangat berpuas hati selepas melihat perkembangan semasa para pemainnya selepas beberapa minggu menjalani sesi latihan serta mengharungi dua aksi persahabatan.
Malah beliau turut mengingatkan kepada anak-anak buahnya mampu untuk mendapatkan sentuhan terbaik sebelum mengharungi saingan tersebut tidak lama lagi.
Ujar pengendali dari Sepanyol itu, para pemain Harimau Malaya B-23 kini mula mempamerkan keserasian terbaik di atas padang terutama ketika mengharungi berdepan India.
Ketika ini, Garrido mengakui barisan staf kejurulatihan sedang bertungkus lumus mempersiapkan strategi lebih berkesan untuk mengekalkan momentum positif skuad kendaliannya sebelum tirai saingan bermula.
“Saya berharap agar mereka menemui rentak sewajarnya dan menjadi lebih baik ketika menentang skuad China pada perlawanan persahabatan akan datang.
“Itu satu ujian penting bagi kami dan semoga skuad sudah siap sepenuhnya, beberapa hari sebelum menjelang perlawanan sebenar,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Garrido juga menyatakan keadaan para pemain beliau kini sangat memuaskan serta tiada isu kecederaan serius melanda skuad kendaliannya.
“Saya gembira dengan prestasi dipamerkan oleh pasukan setakat ini. Mereka sudah lalui beberapa perlawanan dan latihan yang kukuh, jadi kini mereka sedang cuba untuk ke hadapan, buktikan yang terbaik.
“Paling penting sekali, tiada kecederaan menimpa pemain setakat ini dan mereka dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk aksi seterusnya,” katanya akhir sekali.