Segelintir penyokong Kedah di media sosial dilihat mula melontarkan kritikan terhadap prestasi kapten, Baddrol Bakhtiar, jadi apa komen Aidil Sharin Sahak tentangnya?
Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah melalui tiga perlawanan, tewas 0-2 berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT), menang ke atas Sabah (2-0) dan terikat dengan Penang FC (1-1). Dan prestasi Baddrol Bakhtiar yang menjadi tumpuan para penyokong.
Pelbagai komen negatif dapat dilihat telah dilontarkan terhadap Baddrol Bakhtiar. Ada penyokong yang menyatakan mungkin Baddrol Bakhtiar sudah terlalu selesa dengan layanan terhadapnya, prestasinya kini sudah menurun dan sebagainya.
Jadi, benarkah Baddrol Bakhtiar gagal memberikan yang terbaik di dalam padang tetapi masih menjadi pilihan utama Aidil Sharin untuk mengemudi jentera tengah Kedah. Dapat dilihat beliau digandingkan bersama Anumanthan Mohan.
The chemistry between Rabih Ataya and Baddrol Bakhtiar is questionnable. Both play at the same role and both of them fighting for spaces.
Looks like RA is struggling with fitness.
My amateur pov: Let RA be the focal point as no 8 and push Bad forward to No 7. https://t.co/mYQjtSsb8q
— "Hyung" (@bisikanputera) March 10, 2021
Sebagai pemain yang lebih banyak berada di belakang, Baddrol Bakhtiar kurang dapat dilihat membantu jentera serangan dan kelihatan hanya Rabih Ataya bersendirian di bahagian atas. Ini yang telah membuat para penyokong mula ‘bosan’.
Kedah turun dengan formasi 4-2-3-1 dengan Baddrol Bakhtiar bertindak lebih defensif bersama Anumanthan Mohan. Rabih Ataya pula bergerak sebagai pemain tengah menyerang, dibantu Kipre Tchetche di kiri dan Faizat Ghazli di kanan.
Dalam musim sebelum-sebelum ini, mereka sentiasa melihat Baddrol Bakhtiar sebagai hub kreatif mereka dengan hantaran-hantaran jauh berkualiti selain turut sama mampu membantu jentera serangan dalam memburu jaringan gol dengan rembatannya.
Malah, ada penyokong yang meminta agar beliau direhatkan dan ada juga segelintir yang menyatakan yang beliau sudah tidak layak bergelar kapten Hijau Kuning.
Menurut Aidil Sharin dalam sidang media tentang kritikan penyokong itu, “Saya rasa Baddrol [Bakhtiar] adalah pemain yang sangat berpengalaman. Saya rasa dia dapat mengawal situasi tersebut, walau apa pun yang beliau hadapi ketika ini.”
“Bagi saya, saya tidak risau. Baddrol telah banyak membantu pasukan dan sentiasa beri yang terbaik sebagai kapten pasukan dan dia adalah ketua dikalangan pemain. Hari ini kita melihat dia main lebih baik berbanding aksi sebelum ini.
“Saya tidak risau [prestasinya] dan dia sentiasa bersama saya membawa pasukan ke depan, saya sangat hargainya. Apa yang saya dapat katakan, dia akan bertambah baik selepas ini,” jelas Aidil Sharin lagi mengenai isu yang semakin hangat di media sosial.
Dan pengendali kelahiran Singapura itu dilihat menekankan yang faktor jadual padat mungkin memberi kesan. Jelasnya, “Tetapi jangan lupa, kita melalui tiga aksi dalam sembilan hari, ia bukan mudah. Selain faktor umur dan padang yang becak.”
KREDIT FEATURED IMAGE: KDA FC
Baca lagi artikel lain mengenai Baddrol Bakhtiar dan Kedah:
Baddrol Bakhtiar, Lagenda Hidup Kedah Yang Telah Beraksi Dalam Semua Pertandingan