Kisah seri antara Malaysia dan Korea Selatan pastinya akan menjadi suatu kenangan terindah buat para penyokong kebangsaan, apatah lagi ianya juga dianggap sebagai suatu magis dalam dunia bola sepak negara.
Apa tidaknya, Malaysia yang tampil longlai sejak dua perlawanan lalu bagi peringkat Kumpulan E di saingan Piala Asia berjaya mengikat seri Korea Selatan bersama aksi cukup menyakinkan.
Walaupun seri, ianya diraikan begitu meriah dalam kalangan penyokong Malaysia di media sosial, apatah lagi mereka yang berada di Qatar untuk menyaksikan secara bersemuka di stadium.
Pada aksi semalam, satu rakaman kamera telah terarah kepada salah seorang penyokong Malaysia yang berada di Qatar sedang menangis ketika situasi Harimau Malaya mendahului Korea Selatan.
Tangisan itu membuktikan betapa lelaki tersebut begitu terharu dengan keputusan semasa dicatat pasukan kebangsaan sehingga beliau sendiri tidak dapat menahan emosi di stadium.
Jika kita di sini yang menyaksikannya di kaca televisyen turut sebak, apatah lagi mereka berada di sana yang pastinya terharu akan keputusan berjaya dicatat skuad kendalian Kim Pan-gon.
Namun, ada kisah lebih menarik tentang lelaki berkenaan yang wajar kita ketahui tentang pengorbanan dibuat beliau untuk ke Qatar demi memberi sorakan padu serta atas rasa cinta akan pasukan kebangsaan.
Menerusi satu perkongsian didedahkan oleh pengguna media sosial Facebook iaitu Nordin Mat, beliau menyatakan nama lelaki tersebut sebagai Derrick Gan yang berasal dari Melaka.
Jelas lelaki berkenaan, Derrick telah pun memuat naik di Facebook beliau untuk menjual motorsikal miliknya demi menampung perbelanjaan untuk ke Qatar demi memberi sokongan padu buat pasukan kebangsaan.
“Semasa siaran langsung semalam, memang mata saya terpandang momen seorang lelaki yang tidak dapat menahan perasaan dan menangis ketika Malaysia mendahului 2-1 dengan Korea Selatan.
“Kita yang menonton di televisyen pun teruja dan menjerit , apatah lagi kalau berada di dalam stadium menyaksikannya. Rupanya ada kisah menarik di seballik wajah Derrick Gan dari Melaka ini.
“Beliau sanggup menjual motosikal dengan harga RM4500 pada bulan Disember lalu demi ingin turut serta menonton Piala Asia di Qatar.
“Kenapa menonton bolasepak begitu penting bagi beliau ? Boleh saja menonton siaran langsung seperti kebanyakan dari kita.
“Tambahan beliau berbangsa cina yang kalau di Malaysia amat jarang beraksi sebagai pemain bolasepak pula.
“Pada saya ia lambang semangat kesukanan dan patriotik yang sangat tinggi. Beliau ingin menyumbang sokongan dan sorakan di stadium walaupun dari awal tidak ramai memberi harapan kepada pasukan Harimau Malaya
“Saya tabik hormat kepada beliau, balik nanti saya akan cuba belanja dia burger GTR yang termahal sekali nanti, A5 Jepun!,” jelas Nordin yang merupakan pendiri kepada GRR Burger.
Ketahui Derrick, sikap patriotik anda sebenarnya telah memberi kami suatu inspirasi serta contoh terbaik tentang rasa kecintaan kepada pasukan kebangsaan.
Semoga beliau akan terus menangis dan menangis lagi pada masa hadapan melihat kejayaan pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.