Pada usia 22 tahun apa pencapaian besar yang anda sudah peroleh dalam hidup yang boleh dibanggakan?
Buat Arif Aiman Hanapi, beliau sudah pun memperoleh segalanya yang menakjubkan selaku pemain bola sepak profesional di Malaysia serta Asia pada usia masih muda.
Sukar sekali untuk menafikan nama Arif selaku pemain bola sepak tempatan pada era moden kini daripada segala segi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pencapaian dan kualiti ditampilkan beliau seiring dengan apa dilakukan kelab tersebut yang saban tahun mencipta peningkatan serta kemajuan di pentas domestik serta Asia.
Malahan, mereka kini semakin berani untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) bersama keputusan cukup memberansangkan.
Jika tahun 2025 menjadi tahun yang dianggap gelap buat peminat bola sepak di Malaysia menerusi isu semasa kelab serta skuad kebangsaan, sebaliknya pula berlaku di kem JDT serta khususnya buat Arif.
Membanggakan peminat, menaikkan kualiti pemain tempatan, serta mengharumkan nama Malaysia menjadi inti utama mereka untuk menarik tumpuan ramai pemerhati bola sepak dari luar negara.
Lihat sahaja kejayaan terbaharu JDT yang cemerlang menewaskan juara K League 1 musim ini iaitu Ulsan HD menerusi keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Rentetan kemenangan ini bukan sahaja berkisarkan tiga mata penting buat pasukan, sebaliknya impak besar dicapai oleh pasukan itu bersama Arif Aiman.
Ketika ramai menyatakan kelab itu terlalu bergantung harap kepada tenaga luar, lihat sahaja siapa penjaring terbanyak JDT kini di pentas ACLE.
Lima gol bersama satu bantuan jaringan diukir bintang muda Harimau Malaya itu kini untuk meletakkan beliau sebaris bersama nama-nama besar penjaring terbanyak kejohanan tersebut kini.
Siapa sahaja tidak berbangga apabila anak tempatan kita sendiri cemerlang di pentas tertinggi Asia dan usaha JDT terus membuktikan bola sepak di Malaysia kini masih lagi bersinar.
Seperti ungkapan pengendali Ulsan HD mengenai kehebatan Arif yang dianggap mampu mencabar Asia, beliau membuktikannya ketika menewaskan kelab itu semalam.
Tolak seribu fakta pun tidak dapat mengubah rekod dan kecemerlangan JDT dan Arif kini buat bola sepak Malaysia untuk terus bersinar di pentas Asia.
Itulah JDT.