Pemain tengah berpengalaman, Akram Mahinan kini secara rasminya menjadi tonggak baharu buat Terengganu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sendiri oleh Terengganu sebentar tadi selepas mereka secara rasminya mengumumkan pemain tersebut menerusi media sosial untuk mengucapkan selamat datang buat Akram.
Nama Akram sebelum itu sudah pun dikaitkan bersama Terengganu sebenarnya, selepas beliau menjadi antara beberapa nama bakal menyertai pasukan tersebut untuk saingan musim 2024/2025.
Untuk rekod, Akram merupakan antara tonggak penting Kuala Lumpur City (KL City) sejak beberapa musim lalu dan berjaya mencapai pelbagai kejayaan sepanjang berada di sana.
Antara pencapaian terbaik Akram pastinya ketika mereka menjuarai Piala Malaysia 2021 serta membawa KL City untuk mara ke pentas akhir saingan AFC pada tahun 2022 dengan begitu konsisten.
Kehadiran Akram bersama KL City sebenarnya boleh dianggap cukup penting dan dijangka pemain tersebut mampu membawa impak positif buat Sang Penyu musim akan datang.
Atasi kelemahan musim lalu
Terengganu sebenarnya merupakan antara pasukan bermasalah daripada segi konsistensi mereka di posisi tengah bertahan walaupun memiliki beberapa pemain import berpengalaman.
Kehadiran Akram dijangka mampu untuk menyelesaikan isu tersebut selain mengurangkan beban pengurusan kelab bagi mendapatkan pemain import di posisi tengah bertahan Terengganu saingan hadapan.
Pada jangkaan, Akram berkemungkinan besar akan menjadi pilihan utama Tomislav Steinbruckner khususnya bagi aksi-aksi berintensiti tinggi dalam saingan domestik.
Kualiti jentera tengah
Kualiti dimiliki Akram yang beraksi selaku pemain nombor enam sebenarnya tidak perlu diragui lagi sehingga beliau sebenarnya boleh dianggap antara terbaik di posisi tengah bertahan bagi kategori tempatan.
Selain memiliki keupayaan memberi tekanan-tekanan tinggi kepada pemain lawan, Akram juga memiliki teknik cukup baik untuk membuat ‘interception’ serta sangat berdisiplin sepanjang dalam tempoh 90 minit perlawanan.
Malah, pemain tersebut juga boleh mencipta gerakan-gerakan berbahaya menerusi kualiti hantaran beliau buat rakan sepasukan lain mencipta serangan.
Pengalaman
Sebagai antara pemain berpengalaman, kehadiran Akram juga sangat penting untuk memberi panduan khususnya kepada pemain-pemain muda Sang Penyu musim hadapan.
Seperti diketahui, skuad kendalian Steinbruckner musim depan kebanyakan diwakili ramai pemain tempatan serta masih muda selepas mereka dilaporkan tidak mengambil banyak tenaga import.
Maka, pengalaman Akram pasti ditagih khususnya untuk memastikan pasukan tersebut tampil lebih bersedia di atas padang menghadapi pasukan lawan berstatus elit seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.