Ini Antara Kemungkinan Mengapa Dion Cools Dilepaskan FC Midtjylland

FC Midtjylland Dion Cools dilepaskan hala tuju

FC Midtjylland telah mengumumkan pada Jumaat yang mereka mencapai kata putus menamatkan kontrak bersama pemain pertahanan, Dion Cools.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sudah beberapa kali insiden berlaku antara kedua-dua pihak sebelum perkara tersebut diumumkan oleh kelab yang bersaing di liga tertinggi di Denmark itu – Danish Superliga.

Pertama, Cools tidak berada dalam senarai skuad pra-musim kelab tersebut walaupun sudah pulang daripada tempoh pinjaman selama enam bulan bersama Zulte Waregem. Kedua, namanya turut digugurkan daripada skuad yang bakal beraksi di saingan UEFA Europa League (Europa) edisi kali ini.

Ini memberi petanda yang Cools sudah tiada dalam perancangan pasukan.

Bagaimana seorang pemain yang telah menikmati musim terbaik bersama Midtjylland pada awalnya terus menjadi buangan dalam tempoh kurang tiga musim? Beliau juga sedang menjadi tonggak utama kelab tersebut sebelum akhirnya dipinjamkan ke kelab divisyen utama di Belgium, Zulte Waregem.

Hilang tempat di Club Brugge

Beliau berjaya menempatkan diri selaku pemain utama Club Brugge apabila Ricardo van Rhijn mengalami penurunan prestasi dan berjaya menampilkan prestasi yang baik dengan membantu kelab tersebut meraih dua kejuaraan liga serta dua kejuaraan Belgian Super Cup sebelum mula terpinggir.

Kehadiran Clinton Mata selaku pilihan baharu pada musim 2019/20 telah menyaksikan Cools lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan ini memaksanya untuk mencari kelab baharu yang mampu menawarkannya slot sebagai pemain utama. Harus diingat beliau berusia 23 tahun saat itu.

Selaku pemain yang membarisi skuad Belgium peringkat bawah umur – skuad B-21, B-19 dan B-18, beliau tidak mahu terpinggir daripada panggilan untuk skuad utama Belgium yang sedang berada di puncak prestasi, yang berada di ranking pertama dunia dalam FIFA ranking pada ketika itu.

Naib juara Danish Superliga musim 2018/19 datang menawarkan tempat.

Sertai Midtjylland dengan misi besar

Tentunya Cools mahukan peranan besar buat dirinya bagi membolehkan pengendali skuad kebangsaan tidak terlepas pandang persembahannya. Siapa yang tidak mahu berada dalam skuad yang sedang berada di puncak ranking dunia? Tambahan pula beliau adalah antara yang berpotensi.

Beraksi 18 kali bersama Belgium B-21, Cools juga merupakan tonggak utama mereka di Euro B-21 2019 yang berlangsung di Itali.

Beliau tiada masalah untuk memecah masuk ke dalam skuad utama di musim kedua selepas tampil lima kali pada musim pertamanya di Denmark. Beliau menyertai Midtjylland pada pertengahan musim 2019/20 dan bersama-sama mereka menjuarai saingan liga pada musim tersebut.

Membuat 21 penampilan liga bersama juara liga itu pada musim kedua, beliau membantu pasukan berada di kedudukan kedua – hanya dipisahkan dua mata daripada kejuaraan yang dimenangi Brondby dengan 45 mata.

Begitupun, beliau terus tidak mendapat tempat untuk bersama Belgium di peringkat antarabangsa. Tidak boleh dipinggirkan salah satu kemungkinan beliau akhirnya memilih mewakili Malaysia selain ‘pujukan’ TMJ adalah selepas lelah menanti panggilan Belgium dan sudah berusia 25 tahun.

Dion Cools: Belum Ada Panggilan Daripada Harimau Malaya Setakat Ini

Bagaimana beliau mula terpinggir?

Difahamkan Cools bergelut dengan kecederaan pada musim ketiganya di Denmark. Selepas tampil 12 kali di saingan liga, beliau membuat keputusan memohon kepada pasukan untuk keluar mencari angin baharu buat dirinya bagi mendapatkan lebih minit permainan walaupun secara pinjaman.

Beliau juga semakin hilang posisi kepada Joel Andersson. Ini kerana beliau hanya merekodkan 411 minit permainan dalam 12 penampilan itu, tidak sampai separuh pun minit permainan sepatutnya – 1080 minit maksimum.

“Kami sentiasa gembira Dion Cools menyertai FC Midtjylland tetapi beliau meminta lebih minit permainan dan kini dia memiliki peluang untuk itu di Belgium.”

Svend Graversen, Pengarah Sukan FC Midtjylland

Andersson menjadi pilihan utama di posisi bek kanan milik Cools sebelum itu. Beliau tampil 21 kali di liga dengan merekodkan 1699 minit permainan.

Musim pendek 2021/22 disebabkan Covid-19 melanda dunia menyaksikan Andersson masih menjadi pilihan utama selepas ketiadaan Cools yang dipinjamkan ke Zulte Waregem – tampil tujuh daripada lapan aksi liga.

Dan pada musim ini, Andersson yang merupakan pemain kebangsaan Sweden masih menjadi pilihan utama selain mereka memiliki empat pemain yang boleh disandarkan jika pemain berusia 25 tahun itu tiada.

Squad Depth FC Midtjylland 2022-23
FOTO: Transfermarkt

Dengan berbaki kontrak sehingga Jun 2023, pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium itu mungkin merasakan minit permainan bakal menjadi isu utama lagi pada musim ini selepas tersisih daripada skuad pra-musim serta Europa FC Midtjylland, jika beliau memilih untuk kekal di Denmark.

Keinginan untuk beraksi di Piala Asia 2023 yang mana beliau menjadi antara watak penting membawa Malaysia kembali ke saingan tertinggi di Asia itu selepas 42 tahun, mungkin menyebabkan beliau perlu memilih sama ada kekal dan tidak bermain atau mencari pasukan baharu.

Malah, seperti yang dijelaskan di perenggan sebelum ini, beliau bukan jenis pemain yang suka duduk di bangku simpanan. Ke mana hala tuju pemain ini selepas tinggalkan Midtjylland dan kini menjadi ejen bebas? Bincangkan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN