Charlie Adam bukanlah pemain yang cakap lepas. Beliau terkenal dengan personaliti yang lemah lembut dan soft spoken.
Namun kali ini beliau ‘meletus’ selepas tidak berpuas hati dengan metod pemilihan pemain oleh Gordon Strachan.
Charlie Adam mengkritik keputusan pengurus Scotland, Gordon Strachan yang memanggil semula Scott Brown menjelang perlawananan kelayakan Piala Dunia menentang seteru perit mereka, England pada Jumaat ini.
Apa Relevan Panggil Bintang Yang Sudah Bersara?
Lebih kurang kurang 3 bulan yang lalu, Brown telah pun mengumumkan persaraan antarabangsa beliau. Apa yang lebih mengecewakan Adam adalah, apabila dia turut disisihkan pada kali ini.
Adam juga mendedahkan Brown dipanggil semula, semata-mata untuk bermain di Wembley untuk kali terakhir.
Menurut Charlie Adam lagi, skuad Scotland yang ada bukannya ketandusan pemain tengah untuk memanggil semula Brown. Ia adalah posisi yang paling banyak pesaing dalam pasukan tersebut.
Adam berkata:
“Ia satu keputusan pelik. Saya akui, antara kami (Adam & Strachan) ada sedikit kesulitan dalam komunikasi.”
“Namun, kenapa dalam perlawanan menentang England ini saya tidak diberikan peluang? Apa sebenarnya sedang berlaku? Saya mahukan penjelasan.”
“Saya tahu Brown ada 50 caps untuk Scotland. Beliau telah berbakti dengan cemerlang untuk negara ini. Namun, apabila anda sudah bersara bermakna, anda haruslah memikirkan tentang peluang orang lain.”
“Kami telah menunggu lama untuk peluang kami daripada anda. Jika beliau kembali hanya semata-mata untuk bermain 1 perlawanan di Wembley, ia memang kurang munasabah.”
“Siapa yang akan Strachan gugurkan? Darren Fletcher? Dia adalah kapten pasukan. Atau Barry Bannan? Rasanya, Bannan adalah pemain yang paling teknikal dan berbakat dalam pasukan Scotland.”
“Saya tidak kata yang saya harus bermain di dalam kesebelasan utama pasukan, namun saya yakin saya layak dipanggil untuk memberikan sesuatu kepada pasukan.”
“Jika beliau panggil saya dan tidak turunkan saya langsung pun saya terima, kerana dia ada kuasa sebagai jurulatih.”
Adam tidak bermain untuk Scotland sejak perlawanan Jun 2015 yang lalu. Ketika ditanya sama ada beliau akan mengikut jejak Alan Hutton yang mengumukan persaraan selepas kehilangan tempat di dalam pasukan utama?
Adam berkata:
“Saya belum mahu bersara buat masa ini. Saya masih mahu menyarung jersi kebangsaan Scotland.”
“Saya akan tetap menyokong mereka dalam setiap perlawanan dan mahu melihat mereka menang.”
“Saya telah mendapat 26 caps dan rasa amat berbangga dengan setiap caps yang saya dapat.”
“Jelas sekali, Strachan merupakan pengurus yang terbaik untuk Scotland. Dan saya masih membuka pintu hati saya untuk bermain di peringkat antarabangsa.”
Adakah anda rasa Charlie Adam layak untuk dipanggil ke dalam skuad kebangsaan Scotland? Dan, adakah wajar untuk memanggil bintang yang sudah bersara walaupun di posisi tengah ada kuantiti pemain yang ramai?.
Baca juga : Memphis Depay Yang Masih Gagal Menjadi The Flying Dutchman