1. Taktikal Tan Cheng Hoe ‘tak jalan’
Malaysia bergelut sepanjang perlawanan. Mungkin 10 minit terakhir baru nampak Malaysia lebih akses ke kotak penalti lawan. Ianya kerana Vietnam sudah kelihatan keletihan selepas permainan intensif mereka.
Tan Cheng Hoe dalam perlawanan ini gagal dalam melaksanakan taktikal beliau. Tidak pasti apa yang Malaysia cuba lakukan kerana Vietnam telah memusnahkan segalanya dengan efektif.
Park Hang Seo benar-benar bersedia pada kali ini.
2. Vietnam menikmati pertarungan di sayap
Vietnam memang menggemari permainan di bahagian sayap. Park Hang Seo kerap mengarahkan para pemainnya ‘overload’ di bahagian sebelah kiri terutamanya.
Bukan sahaja perlawanan menentang Malaysia, malah perlawanan-perlawanan Vietnam sebelum ini, termasuk ketika berhadapan Thailand, mereka menggunakan pendekatan yang sama.
Vietnam tidak bermain dengan kelemahan lawan, tetapi mereka bermain dengan fokus kepada kekuatan sendiri.
Ini bermakna, mereka sedaya upaya menjalankan taktikal berasaskan kekuatan mereka berbanding dengan cuba mencari titik kelemahan lawan.
3. Malaysia tersekat di sayap
Jika Vietnam lancar di sayap, Malaysia pula tersekat. Tan Cheng Hoe sekali lagi agak terlalu bergantung kepada hantaran lintang Matt Davies apabila Harimau Malaya tidak mampu mendominasi perlawanan.
Apabila terlalu banyak permainan di bahagian sayap terutama sekali Matthew Davies, ia secara tak langsung membuatkan Malaysia bermain di zon kegemaran Vietnam.
Kami boleh katakan ianya ralat pada taktikal (tactical error).
Vietnam sangat dominan di bahagian sayap padang pada perlawanan ini. Dan diberikan peluang untuk terus bermain banyak di bahagian sayap, bahagian pasukan Malaysia.
Kita tahu dalam bola sepak, memang aspek width itu penting. Namun dalam kes ini, kita terlalu mencuba untuk terus pergi ke sayap tanpa melalui bahagian tengah.
Apa yang kami gariskan di sini adalah permainan yang terlalu banyak di bahagian sisi padang, tetapi gagal ke bahagian sayap di final third.
4. ‘Pressing’ Vietnam
Dalam previu perlawanan, kami menegaskan Vietnam bukan pasukan yang ‘possesion hunger’ dan mereka bukan pasukan yang gilakan ‘high pressing’.
Tetapi dalam perlawanan ini, Vietnam ternyata menggunakan pendekatan berbeza. Mereka menekan awal pasukan Malaysia di garisan tinggi, terutama sekali di bahagian sayap.
Park Hang Seo tahu Tan Cheng Hoe gemarkan binaan serangan berasaskan pemain pertahanan. Dan Vietnam cuba mengucar-kacirkan organisasi Malaysia.
Vietnam berjaya dan membuatkan pelan taktikal Malaysia kerap rosak. Mereka juga banyak memenangi bola dan mendesak Malaysia melakukan kesilapan.
5. Isu kreativiti
Kedua-dua pasukan berhadapan dengan isu ketumpulan di bahagian serangan utama. Namun dari segi kreativiti, Vietnam lebih baik.
Mereka mencipta lebih banyak peluang dan juga gerakan kombinasi. Masalah Vietnam apabila di dalam kotak penalti Malaysia, mereka melakukan banyak percubaan tersasar dan gagal mendapat gol kedua, terutamanya daripada 2 situasi yang boleh dikira peluang keeamasan.
Malaysia ada isu yang sama iaitu tumpul. Namun secara kolektif, ketumpulan itu juga kerana Malaysia tak kreatif dan kurang gerakan kombinasi berpasukan di zon serangan.
6. Aspek kecergasan
Vietnam sekali lagi membuktikan mereka antara pasukan yang memiliki kecergasan yang sangat tinggi berbanding dengan pasukan Asia Tenggara yang lain.
Pemain mereka sentiasa cepat untuk memenangi semula bola yang hilang, sentiasa berusaha sedaya upaya untuk memenangi bola kedua dan sebagainya.
Malaysia pula ada isu dengan stamina dan kecergasan yang ketara. Ada ramai pemain kurang gerakan intensif.
Rumusan
Vietnam berhak menang perlawanan ini kerana memiliki corak taktikal lebih teratur. Mereka menang fizikal dan juga mental.
Mereka tidak terikut rentak Malaysia, dan sebaliknya Malaysia yang seakan-akan terikut rentak Vietnam kerana gagal melaksanakan corak taktikal.
Malaysia gagal untuk ‘settle down’ secepat mungkin dalam perlawanan ini. Tidak keterlaluan dikatakan Malaysia memang tidak ‘settle down’ untuk 90 minit.
Kesannya, ia membuatkan Vietnam lebih bermotivasi untuk mara lebih jauh ke kawasan Malaysia.
Semoga Malaysia memperbaiki beberapa aspek kelemahan yang dihadapi berhadapan dengan pasukan Vietnam.
Kredit foto: FAM