Ini 3 Perkara Brad Maloney Boleh Pelajari Daripada Skuad Senior Kebangsaan

Walaupun skuad kebangsaan sedang berada dalam momentum terbaik mereka menerusi corak permainan yang menarik serta keputusan positif dicatat, sebaliknya pula berlaku di kem skuad bawah 23 negara (B-23) apabila pasukan ini sedang dilanda krisis kekalahan.

Saat skuad senior dilihat hadir dengan reputasi semasa terbaik termasuk aksi menewaskan Turkmenistan dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023, pasukan kendalian Brad Maloney pula seolah hilang punca di Tashkent apabil gagal mengutip walau satu mata daripada tiga perlawanan dihadapi.

Pasukan kendalian Maloney ini mula berdepan krisis sejak kejohanan Piala AFF lalu di Kemboja dengan tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan selain tewas di tangan Laos.

Krisis terus bertambah apabila mereka turut gagal untuk meraih sebarang pingat dalam saingan Sukan Sea di Vietnam dan terbaharu merekodkan semu kekalahan di peringkat kumpulan dalam Piala Asia B-23.

Ada tiga perkara yang mungkin boleh dipelajari oleh Maloney mengenai skuad senior ketika ini dalam mempersiapkan diri pula bagi menyertai Sukan Asia pada bulan September.

Pemilihan pemain bersesuaian

Jika dilihat ketika ini skuad B-23 negara mempunyai sedikit masalah dalam senarai pemilihan pemain kerana ada beberapa bakat muda yang berpotensi tidak dipanggil Maloney dalam pasukan.

Amat penting bagi seseorang jurulatih mengenal pasti kebolehan para pemain untuk disesuaikan dalam taktikal agar segalanya berjalan lancar ketika aksi sebenar di atas padang.

Misalnya, Kim Pan-gon mengenali potensi yang ada pada Syamer Kutty dan digunakan beliau sebaik mungkin dalam perlawanan sebenar biarpun pada asalnya pemain tengah tersebut kurang beraksi dalam saingan liga.

Corak permainan

Kelemahan ketara yang dapat dikesan pada Maloney ialah sistem permainan diterapkan dalam pasukan begitu mudah dijangka.

Beliau menginginkan pemain untuk mengawal bola menerusi sistem hantaran pendek, namun tiada visi yang lebih meluas digunakan Maloney ketika situasi serangan dilancarkan.

Setiap serangan dicipta oleh skuad tersebut mudah diteka oleh lawan lebih berpengalaman seperti Thailand dan Vietnam.

Berbanding Pan-gon, pengendali tersebut mempunyai variasi taktikal ketika menyerang dan ada falsafah tersendiri dengan jelas dalam permainan.

Aspek teknikal

Jika perkara ini tidak dapat ditingkatkan, maka segala pelan permainan seberapa pemain bintang yang ada pun tidak berguna.

Kelemahan ketara dapat dilihat buat sesetengah pemain muda ini ketika teknik kawalan bola dan stamina dalam setiap perlawanan dihadapi.

Para pemain kelihatan tidak bersedia untuk menghadapi perlawanan berintensiti tinggi dan mula menurun stamina di pertengahan separuh masa kedua menyebabkan lawan sering mengambil peluang untuk mencipta sesuatu.

Teknik kawalan bola juga masih lemah apabila para pemain mudah melepaskan kepada pihak lawan jika diberi tekanan.

Apa yang perlu dipelajari Maloney ialah melihat metodologi kejurulatihan skuad senior ketika ini dalam aspek tersebut.

Pan-gon berjaya mengubah kelemahan pemain senior yang suatu ketika cepat kehilangan stamina dan teknik kawalan bola dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum itu.

Hasilnya, ketika aksi menentang Turkmenistan kita dapat melihat dimensi baru dalam bola sepak Malaysia apabila para pemain mampu bermain dalam keadaan intensiti tinggi serta teknik kawalan bola yang bagus untuk mengetepikan lawan.

Kesimpulan

Skuad kendalian Maloney ini mempunyai ramai pemain bagus dan masih ada banyak masa untuk digilap supaya mampu menjadi pengganti pasukan senior suatu hari nanti.

Ada beberapa wajah seperti Mukhairi Ajmal, Luqman Hakim Shamsudin, dan Harith Haiqal yang dilihat mampu untuk bersaing di peringkat senior jika terus dibimbing dengan baik.

Apa yang perlu dilakukan pengurusan ketika ini adalah untuk kembali meletakkan skuad muda ini di landasan tepat agar mereka kembali dapat memulihkan kepercayaan para penyokong.

Sekiranya Maloney tidak lagi dapat menyumbang sesuatu yang bagus buat pembangunan bola sepak negara, maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bertindak segera untuk mencari pengganti berpotensi tinggi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN