Kedah Darul Aman (Kedah) secara rasminya bakal mengharungi aksi Liga Super seterusnya dengan pasukan itu bakal menentang Kelantan Darul Naim (KDN) di Stadium Darul Aman (SDA).
Atas kertas, kelebihan dilihat lebih terarah kepada Kedah atas beberapa faktor jika dibandingkan oleh pasukan pelawat yang kini sedang dikendalikan oleh jurulatih dari Korea Selatan, Park Jaehong.
Beraksi di laman sendiri, sudah tentu skuad kendalian Nafuzi Zain ingin mengekalkan momentum cemerlang mereka yang setakat ini tidak merekodkan sebarang kekalahan setelah mengharungi empat aksi domestik.
Malah, motivasi pemain Sang Kenari juga dianggap berada dalam keadaan positif apabila mereka baru sahaja berjaya melayakkan diri ke pentas separuh akhir Piala FA setelah pasukan itu menundukkan cabaran Penang.
Walaupun begitu, KDN juga tidak boleh dipandang rendah kerana pasukan itu juga berjaya merekodkan kemenangan pada aksi lalu di pentas saingan Liga Super selain memiliki beberapa pemain berkualiti.
Untuk aksi hari ini, tiga pemain dijangka bakal memainkan peranan besar untuk memastikan pasukan diwakili mereka meraih keputusan lebih positif di atas padang.
Irfan Zakaria (Kedah)
Setakat ini, Irfan boleh dianggap sebagai antara pemain tempatan paling berkualiti pernah ditandatangani oleh Sang Kenari menerusi impak diberikannya.
Jika dilihat pada aksi-aksi lalu, Irfan menjadi pemain yang sangat tenang untuk menyerap tekanan lawan selaku pertahanan tengah pasukan dengan membentuk gandingan cemerlang bersama pertahanan import dari Brazil, Cleylton.
Malah, Irfan memiliki ketenangan serta keupayaan tinggi untuk membuat hantaran-hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan lain walaupun dirinya menerima tekanan besar dari serangan lawan.
Ebenezer Assifuah (Kedah)
Tampil dengan status penjaring terbanyak semasa buat Kedah, sudah tentu kelibat Assifuah bakal menjadi tumpuan utama untuk membantu pasukan tersebut mendapatkan gol di laman sendiri.
Assifuah boleh dianggap memiliki kelicikan tersendiri serta sangat lincah untuk mengawal bola walaupun mendapat asakan daripada pemain pertahanan lawan.
Selain itu, gandingannya bersama bintang Harimau Malaya iaitu Syafiq Ahmad juga sudah pun terbukti menerusi persefahaman tinggi dipamerkan mereka.
Oday Kharoub (KDN)
Jantung utama buat KDN musim ini, dengan Oday sering memainkan peranan-peranan besar buat penguasaan permainan pasukan tersebut selain tenang mengawal tempo permainan.
Kehadiran Oday dianggap sangat penting khususnya untuk merosakkan bentuk serangan cuba dicipta lawan selain memiliki kualiti tinggi daripada segi visi.
Bintang kebangsaan Palestin itu juga kreatif membuat hantaran-hantaran berbahaya buat rakan sepasukan selain memiliki keupayaan untuk menyudahkan setiap peluang terhidang.