Jika disingkap mengenai perjalanan bola sepak negara di pentas antarabangsa tahun ini boleh kita katakan ada banyak peningkatan dicipta dan boleh memberi kelegaan dan reaksi positif dalam kalangan penyokong.
Apa tidaknya, selain skuad Harimau Malaya yang semakin mempamerkan taring dengan kejayaan mereka, perkara tersebut dilihat turut seiring dengan kemajuan kelab-kelab tempatan di peringkat antarabangsa ketika ini.
Pada tahun lalu kita dihidangkan dengan cerita-cerita suram dalam bola sepak negara, tahun ini Malaysia berjaya menunjukkan sesuatu positif sehingga mendapat perhatian pemerhati bola sepak tempatan serta luar negara.
Ini tiga detik kejayaan bola sepak Malaysia berjaya mencuri perhatian di pentas antarabangsa untuk kita kenang dan terus berharap agar lebih banyak kejayaan dapat diraih selepas ini.
Kejayaan Harimau Malaya ke Piala Asia 2023
Malaysia berjaya mengulangi sejarah tahun 1980 apabila mereka melayakkan diri ke Piala Asia secara merit setelah berhempas pulas di peringkat kumpulan untuk muncul selaku naib juara Kumpulan E hasil dua kemenangan seeta satu kekalahan.
Lebih manis, Malaysia berjaya menewaskan lawan lebih kuat iaitu Turkmenistan dan membenam cabaran Bangladesh pada perlawanan akhir.
Kim Pan-gon juga berjaya mengubah landskap bola sepak negara menerusi taktikal yang lebih menarik serta kualiti permainan jauh lebih menyakinkan.
Johor Darul Ta’zim lakar sejarah tersendiri dalam saingan ACL 2022
Pasukan ini boleh dikatakan paling bersedia musim 2022 untuk memberi cabaran sengit beraksi dalam saingan tersebut.
Kejutan juga dilakar di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) apabila mereka menumpaskan lawan jauh lebih berpengalaman seperti Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai selain tidak bermasalah untuk mengetepikan cabaran Guangzhou FC.
Kejayaan JDT untuk muncul juara Kumpulan I membawa mereka ke pusingan 16 pasukan terbaik bagi berdepan Urawa Reds Diamond di Jepun tidak lama lagi.
Kedah dan KL City tampil positif dalam Piala AFC 2022
Baik Kedah Darul Aman (KDA) atau Kuala Lumpur City (KL City) kedua pasukan ini berjaya melakar kejayaan tersendiri apabila layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC bagi zon Asean.
KDA pada awalnya tampil tidak menyakinkan apabila tumpas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan di tangan Bali United sebelum mencipta kejayaan dengan dua kemenangan besar selepas itu dilakar bagi meletakkan skuad kendalian Aidil Sharin ini juara Kumpulan G.
KL City pula tampil menyakinkan di laman sendiri apabila tidak mencatat sebarang kekalahan dan menamatkan cabaran mereka dengan kemenangan atasi Tampines Rovers dan melayakkan diri mereka ke peringkat seterusnya.
Kesimpulan
Kejayaan demi kejayaan dilakar tersebut berjaya menaikkan kembali nama Malaysia dalam sukan bola sepak di pentas antarabangsa.
Jika setiap pasukan mampu mendorong diri masing-masing ke hadapan demi kemajuan bersama, maka tidak mustahil lebih banyak kejayaan akan diraih dan mampu menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara terkuat di Asia dalam bola sepak.