Ingress Penchala FC akhirnya mempamerkan aksi terbaik mereka selepas gagal mencipta kemenangan dalam 2 perlawanan pertama selepas berjaya menewaskan Ampang ATY Serayan 2-1 dalam aksi Kumpulan A Selangor Champions League 2017 di Stadium Panasonic Shah Alam semalam.
Sebaik sahaja wisel dibunyikan, Ingress Penchala yang jelas kelihatan masih belum cukup ‘panas’ sudah pun ketinggalan seawal 10 saat selepas Ampang ATY Serayan menyempurnakan peluang pertama mereka dengan gol.
Ampang ATY Serayan yang memulakan sepak mula, membuat hantaran ke belakang dan terus melakukan hantaran tinggi kepada penyerang tunggal mereka, Aqil Abd Rahman.
Pertahanan Ingress Penchala gagal memintas hantaran tinggi tersebut menyebabkan Aqil mudah menewaskan penjaga gol Ingress Penchala yang juga merupakan pemain outfield selepas penjaga gol sebenar mereka lewat tiba ke stadium.
Gol tersebut merupakan rekod gol terpantas dalam sejarah Selangor Champions League.
Tersentak dengan gol pantas itu, Ingress Penchala mula mengatur serangan untuk mencari jaringan penyamaan. Hantaran-hantaran perancang tengah mereka, Suhaimi Shuib kerap kali mencemaskan pertahanan Ampang ATY Serayan.
Barangkali terlalu selesa dan terlebih yakin, Ampang ATY Serayan mula melakukan banyak kesilapan dan mula hilang fokus selepas gol pantas mereka.
Kealpaan itu dihukum Ingress Penchala pada minit ke-16 perlawanan selepas percubaan separa voli Abdul Muhaimin Tuah Hassan daripada hantaran lintang kiri rakan sepasukannya berjaya menewaskan penajga gol Ampang ATY Serayan.
Belum sempat Ampang ATY Serayan mencari rentak selepas dibolosi, satu lagi jaringan berjaya dihasilkan Ingress Penchala pada 2 minit kemudian.
Kali ini giliran pemain sayap kiri mereka pula, Shuqri Muhammad Zahid yang menjaringkan gol selepas mudah menanduk masuk hantaran sepakan penjuru Suhaimi Shuib.
Ketinggalan 1-2, Amoang ATY Serayan mula mengubah cara permainan mereka dengan banyak melakukan pressing yang intensif kepada barisan pertahanan dan tengah Ingress Penchala.
Sesekali mereka berjaya mendapat peluang keemasan untuk menjaringkan gol. Namun ianya gagal disudahkan barisan serangan mereka untuk kedudukan kekal 2-1 hingga tamat separuh masa pertama.
Masuk babak kedua, Ingress Penchala bermain secara defensif dengan barisan pertahanan mereka berada dalam kawasan yang agak deep. Sesekali sahaja mereka melakukan serangan balas ke kubu Ampang ATY Serayan.
Manakala Ampang ATY Serayan terus melancarkan serangan demi serangan dalam usaha mencari gol penyamaan. Penyerang sayap kiri mereka yang menjaringkan hatrik ketika kemenangan 3-1 menentang PJ Level Up FC pada minggu lepas, Amirul Fareez beberapa kali berjaya menewaskan pertahanan kanan Ingress Penchala.
Bagaimanapun kecekapan penjaga gol Ingress Penchala, Jafri Ibrahim yang melakukan sekurang-kurangnya 4 refleks aksi menyelamat mengecewakan Ampang ATY Serayan.
Maka tak hairanlah Jafri Ibrahim dianugerahkan pemain terbaik perlawanan selepas wisel penamat dibunyikan. Tanpa Jafri, Ampang ATY Serayan mungkin mampu pulang dengan sekurang-kurangnya satu mata.
Statistik perlawanan