Pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin merupakan antara pemain tempatan yang mempunyai karisma tersendiri dan masih mampu untuk beraksi hingga ke hari ini pada usia menjangkau 37 tahun.
Pemain kelahiran dari Ipoh itu juga telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang kariernya seperti memenangi kejuaraan Liga Perdana Satu buat dua tahun berturut-turut ketika bersama Perak, memenangi Piala FA juga dua tahun berturut-turut (Kelantan), Liga Super dan banyak lagi.
Di peringkat antarabangsa juga tidak kurang hebatnya apabila pemain yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur itu juga seringkali menjadi pilihan ketua jurulatih skuad kebangsaan.
Indra Putra juga pernah beberapa kali beraksi bersama skuad kebangsaan untuk bertemu dengan beberapa pasukan di Liga Perdana Inggeris, antaranya adalah :
1) Chelsea
Indra Putra telah beraksi dalam dua pertemuan bertemu Chelsea. Aksi pertama adalah pada FA Premier League (FAPL) Asia Cup 2003 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan kemenangan 4-1 memihak kepada Chelsea yang ketika itu dibimbing Claudio Ranieri. Hairuddin Omar berjaya menghasilkan jaringan tunggal buat skuad negara.
Perlawanan kedua buat Indra menentang Chelsea adalah pada 29 Julai 2008 yang menyaksikan Chelsea menang 2-0 menerusi jaringan dari Nicolas Anelka dan Ashley Cole di Stadium Shah Alam.
2) Manchester United
Seperti Chelsea, Indra juga telah beraksi dalam dua perlawanan menentang Manchester United. Perlawanan pertama berlangsung pada 23 Julai 2001. Malaysia tewas 6-0 ditangan United menerusi jaringan dari Ruud Van Nistelrooy (2 gol), David Beckham, Andy Cole (2 gol) dan Luke Chadwick.
8 tahun kemudian, Indra berpeluang untuk sekali lagi beraksi bertemu United pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.
Perlawanan yang menyaksikan Amri Yahyah berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut. Satu daripadanya menerusi rembatan jarak jauh yang berjaya memerangkap Edwin Van Der Saar.
Wayne Rooney, Nani dan Micheal Owen masing-masing menghasilkan satu gol buat United untuk menang 3-2.
3) Birmingham City
Perlawanan ini merupakan aksi kedua Malaysia dalam FA Premier League (FAPL) Asia Cup 2003. Pada perlawanan tersebut, Malaysia tewas 4-0 ditangan Birmingham City.
4) Norwich City
Norwich City hadir ke Malaysia sebagai sebahagian daripada latihan pra-musim bagi menghadapi Liga Perdana Inggeris musim 2005/05.
Indra beraksi pada perlawanan yang dihadiri hampir 32,000 penyokong di Stadium Bukit Jalil itu dan perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-0 memihak Norwich City menerusi jaringan Matt Svensson.
5) Liverpool
Indra beraksi bertemu Liverpool ketika bersama Felda United. Satu perlawanan pemanas badan diadakan di Stadium Bukit Jalil menjelang pertemuan kelab Merseyside itu menentang Pilihan Malaysia.
Walaupun bukan perlawanan rasmi dan sekadar sebagai medan pemanas badan, Liverpool tidak memberikan cabaran mudah apabila menewaskan Felda United 7-0 pada perlawanan tersebut.
6) Tottenham Hotspur
Indra Putra kembali dipilih untuk membarisi skuad Pilihan Malaysia pada tahun 2015 dan kali ini bagi menentang Tottenham Hotspur di Stadium Shah Alam.
Harry Kane berjaya menjaringkan dua gol buat pelawat manakala pemain import Felda United, Thiago Aquino (ketika itu bersama Perak) mencipta jaringan buat Pilihan Malaysia.
7) Queens Park Rangers
Indra juga pernah beraksi menentang Queens Park Rangers (QPR) pada 20 Julai 2012 di Stadium Shah Alam. Pada perlawanan tersebut QPR telah menewaskan Kelantan dengan keputusan 5-0.