Siapa yang tak kenal Indra Putra Mahayuddin?
Beliau merupakan antara pemain tempatan yang mempunyai karisma tersendiri dan masih mampu beraksi hingga ke hari ini pada usia menjangkau 38 tahun bersama pasukan Kuala Lumpur.
Pemain kelahiran dari Ipoh itu juga telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang kariernya seperti memenangi kejuaraan Liga Perdana Satu buat dua tahun berturut-turut ketika bersama Perak, memenangi Piala FA juga dua tahun berturut-turut (Kelantan), Liga Super dan banyak lagi.
Sepanjang mewakili skuad kebangsaan, beliau telah menjaringkan 31 gol dalam 79 penampilan. Kini, beliau mempunyai misi baharu iaitu memburu rekod jaringan yang ke 100 dalam saingan Liga Super mulai musim ini.
Hanya lima jaringan lagi diperlukan oleh beliau untuk mencapai 100 gol mengatasi pemain tempatan yang lain. Berdasarkan rekod, gol beliau dijaringkan ketika mewakili Pahang, Kelantan, FELDA United, Perak, T-Team, Selangor dan Kuala Lumpur sendiri.
Race to 100💪💪💪 pic.twitter.com/xXIMMgRPcY
— LigaBolasepakMalaysia🇲🇾 (@LBMalaysia) January 14, 2019
Bagaimanapun, Indra Putra mengakui bukan mudah untuk mencapai rekod tersebut kerana beliau menyifatkan saingan Liga Super pada musim ini jauh lebih sengit daripada musim lepas.
“Saya rasa saingan pada tahun ini lebih sengit dan untuk mendapatkan gol, ia bukannya mudah dan memerlukan usaha yang lebih tinggi.
“Saya akan cuba untuk mencapai sasaran 100 gol itu dan jika lebih banyak, ia lebih baik untuk pencapaian diri sendiri.
“Ini mungkin lebih kepada kepuasan diri sendiri dan apabila berada pada tahap tertinggi, ia akan lebih bermakna,” katanya dalam Berita Harian.
Mengulas lanjut mengenai persiapan pasukan skuad warga kota, Indra harap kelemahan di bahagian pertahanan skuad itu dapat diperbaiki selepas muncul sebagai pasukan yang paling banyak dibolosi musim lalu.
“Banyak yang perlu diperbaiki dan kita tahu kita perlu beraksi dengan lebih baik supaya tidak lagi mudah dibolosi. Jurulatih juga tentu ada perancangan untuk memastikan Kuala Lumpur akan bertambah baik bagi musim 2019.
“Semua pemain tentunya mengimpikan sesuatu dan begitu juga saya, jadi saya mengharapkan pemain dapat memberikan kerjasama dengan bersatu hati untuk meraih sesuatu pada musim ini,” katanya.