Indonesia Tempang Tanpa Jordi Amat Untuk Berdepan Cabaran Brunei

Pemain pertahanan kental Indonesia iaitu Jordi Amat dilaporkan sah tidak akan menyertai kem latihan pusat Sang Garuda untuk aksi antarabangsa seterusnya membabitkan negara tersebut berdepan cabaran Brunei.

Sebelum itu, Indonesia bakal menghadapi Brunei untuk siri kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Asia pada bulan Oktober depan dengan format beraksi di laman sendiri serta berkunjung ke gelanggang lawan.

Untuk siri perlawanan akan datang, Indonesia terlebih dahulu akan melayan kunjungan Brunei dengan aksi dijangka berlangsung di Stadium Jakabaring, Palembang pada 12 Oktober ini sebelum mereka bertolak ke gelanggang lawan lima hari seterusnya.

Walaupun begitu, pasukan tersebut terpaksa melupakan khidmat pertahanan kental tersebut selepas Jordi disahkan mengalami kecederaan untuk digantikan kepada pemain lain.

Jordi mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan AFC Champions League (ACL) lalu berdepan wakil dari Thailand iaitu BG Pathum.

Beraksi dalam kesebelasan utama, khidmat pemain tersebut terpaksa ditukarkan di separuh masa kedua kerana Jordi mengalami kecederaan.

Pemain tinggi lampai ini menjadi pilihan utama pengendali Indonesia iaitu Shin Tae-yong sejak beliau mendapat kerakyatan Indonesia untuk bergandingan bersama Elkan Baggott di posisi pertahanan tengah.

Sehingga kini, Jordi sudah pun beraksi dalam lapan perlawanan keseluruhan buat Indonesia serta sudah pun membuka satu akaun jaringan bersama Sang Garuda.

Khidmat bekas pemain Swansea itu dilaporkan telah pun digantikan kini, dengan seorang lagi tonggak senior Indonesia dipanggil iaitu Fachruddin Aryanto menurut laporan dikeluarkan CNN Indonesia.

Fachruddin bukan lagi nama asing buat bola sepak kebangsaan Indonesia, selepas khidmat beliau sering digunakan sebelum itu bawah kendalian Shin sebelum kali ini pemain tersebut tidak mendapat panggilan rasmi.

Pemain Madura United itu juga sebelum itu merupakan Kapten buat Indonesia sebelum tugas tersebut kini diserahkan kepada pemain tengah berpengalaman Sang Garuda, Evan Dimas.

Agak merisaukan peminat Sang Garuda kini, Fachruddin kali terakhir beraksi di pentas antarabangsa pada tahun lalu ketika mereka menentang Vietnam bagi saingan Piala AFF 2022.

Walaupun dipanggil menyertai kem kebangsaan tahun ini, pemain tersebut langsung tidak diberi peluang beraksi ketika Indonesia menentang Burundi, Palestin, serta Argentina.

Dijangka Shin bakal membuat sedikit rombakan baharu untuk aksi seterusnya membabitkan pasukan kendaliannya menentang Brunei tidak lama lagi.

Sumber:
CNN Indonesia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN