Rakyat Indonesia kini boleh menarik nafas lega selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasminya mengumumkan mereka tidak akan menyekat aktiviti sukan tersebut pada masa akan datang.
Sebelum itu, hak Indonesia selaku tuan rumah Piala Dunia bawah 20 (B-20) telah dibatalkan kerana mereka enggan menerima salah satu pasukan iaitu Israel menjejakkan kaki di beberapa kawasan terpilih.
🚨 BREAKING 🚨
PSSI (Indonesia) terhindar dari sanksi berat pasca batal menggelar Piala Dunia U20 2023 sebagai tuan rumah.
FIFA hanya menjatuhi sanksi berupa administrasi saja.
Finally. pic.twitter.com/YcJaPACscT
— . (@Indostransfer) April 6, 2023
Disebabkan itu, timbul beberapa kenyataan mengenai bentuk-bentuk hukuman yang akan dikenakan oleh FIFA termasuk mengharamkan aktiviti bola sepak berlangsung di negara tersebut pada masa akan datang.
Walaupun terlepas daripada bentuk hukuman berat, FIFA tetap mengenakan denda kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berbentuk bekuan dana kepada organisasi tersebut pada masa akan datang.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Umum (Ketum) PSSI iaitu Erick Thohir menerusi pertemuan beliau bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino di Paris, selain beliau turut menyediakan ‘blueprint’ mengenai transformasi bola sepak Indonesia.
“Saya hanya boleh mengucapkan lafaz Alhamdulillah dan syukur kerana berkat doa seluruh penyokong bola sepak Indonesia, negara kita terlepas daripada menanggung hukuman berat.
“Istilah yang boleh dikatakan kini, Indonesia seolah mendapat layangan kad kuning berbentuk amaran sahaja bukan kad merah,” jelas Erick menerusi CNN Indonesia.
Erick sebelum itu telah diperintahkan oleh Presiden Indonesia iaitu Joko Widodo untuk membincangkan isu tersebut selain membentangkan projek Transformasi Bola Sepak Indonesia.
Selain itu, Erick juga menyatakan kepada Infantino mengenai komitmen Indonesia dalam menaik taraf 22 stadium di sana yang dapat digunakan oleh skuad kebangsaan atau aktiviti bola sepak tempatan.
Menerusi perkara tersebut, jelas Infantino merupakan antara pemimpin yang mempunyai objektif jelas untuk berlaku adil dalam mana-mana aktiviti bola sepak di seluruh dunia termasuk Asia Tenggara.
Malah Infantino boleh dianggap sebagai seseorang yang ‘mesra’ kepada bola sepak Asia Tenggara dan sudah dibuktikan ketika pertemuan beliau bersama pemimpin bola sepak di Malaysia dan Indonesia pada tahun lalu.
Sesuai arahan Presiden @jokowi, saya bernegosiasi sekaligus mempresentasikan blueprint transformasi sepak bola Indonesia kepada FIFA.
Hasilnya, Indonesia hanya diberi sanksi administrasi, bukan sanksi berat dikucilkan dari sepak bola. Alhamdulillah. pic.twitter.com/BA4gHmvV4V
— Erick Thohir (@erickthohir) April 6, 2023
Selain itu, Infantino juga sempat menyaksikan salah satu perlawanan bola sepak saingan Piala AFF 2022 dengan turut memberi bayangan akan memasukkan kejohanan itu dalam kalendar FIFA.