Indonesia Tak Berhasil ‘Melaju’ Ke Piala Asia B-23, Tewas 2 Kali Kepada Australia

Australia Indonesia Kelayakan Piala Asia B-23

Ia cabaran paling sukar buat Indonesia untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 apabila ditinggalkan berdua bersama Australia dalam saingan Kumpulan G selepas Brunei dan China telah menarik diri lebih awal.

Penarikan diri kedua-dua pasukan adalah disebabkan risau penularan wabak COVID-19 yang menyaksikan Indonesia dan Australia terpaksa berdepan satu sama lain secara timbal balik – tiada pilihan lain untuk layak.

Australia menewaskan Indonesia dalam dua perlawanan – menang 4-2 secara agregat, untuk terus mara ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Jun 2022. Indonesia sah tersingkir daripada saingan apabila tidak akan terlibat dalam pemilihan empat tiket kedudukan kedua terbaik daripada semua kumpulan.

Anak buah Shin Tae-yong hanya tewas tipis dalam kedua-dua aksi, namun itulah nasib mereka apabila hanya ditentukan menerusi agregat tanpa ada lagi perlawanan lain serta tidak terlibat dalam pemilihan kedudukan kedua terbaik. Ada baik dan buruknya perlawanan sebegini, namun untuk berdepan Australia, ia tugas berat.

Mereka memberi tentangan hebat dalam aksi pertama apabila tumbang 2-3. Walaupun berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan di babak pertama dan kemudian ketinggan dua gol di awal babak kedua, Garuda Muda bangkit mengejar kedudukan, namun jaringan Jacob Italiano sudah cukup untuk pisahkan mereka.

Itu aksi yang berlangsung pada 26 Oktober lalu dengan Indonesia mencipta jaringan menerusi Witan Sulaeman dan Taufik Hidayat. Dalam perlawanan kedua, Indonesia berjaya disekat Australia daripada meledak gol.

Witan Sulaeman yang merupakan antara pemain terbaik skuad muda Indonesia kali ini beberapa kali berjaya mencemaskan penjaga gawang Australia, Nicholas Suman, namun tidak cukup ampuh untuk menewaskannya.

Pemain tengah menyerang yang beraksi di Liga Poland bersama Lechia Gdansk itu dua kali dalam tempoh 15 minit awal menguji Nicholas Suman, namun percubaannya hanya sedikit tersasar daripada gawang lawan.

Patrick Wood berjaya menjaringkan gol pertama dan satu-satunya gol mereka pada minit ke-10 hasil sepakan percuma yang diperolehi Australia. Penjaga gol Garuda Muda, Ernando Ari juga beberapa kali menjadi penyelamat buat skuad kendalian Shin Tae-yong menyaksikan hanya satu gol itu yang berjaya dihasilkan.

Kegagalan ini menyaksikan Indonesia masih gagal layak selepas lima percubaan ke saingan Piala Asia B-23.

Leave a Reply