Indonesia Persiapkan Dua Pelan Formasi Taktikal Berdepan Malaysia

Simon McMenemy Indonesia

Indonesia dikatakan mempunyai dua pelan formasi taktikal untuk berdepan Malaysia dalam pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno pada Khamis ini sebagai perlawanan pembukaan Kumpulan G.

Sang Garuda sedang melalui persiapan rapi bagi perlawanan tersebut dan beraksi di halaman sendiri serta berdepan musuh serumpun, Malaysia, pastinya tidak mahu diambil mudah oleh Indonesia bagi melonjak semangat para penyokongnya.

Pengendali Indonesia, Simon McMenemy yang dilantik sejak Disember tahun lalu dilihat sejak awal sudah meletakkan sasaran untuk menumbangkan Harimau Malaya seperti ungkapannya saat disoal oleh para wartawan di sidang media baru-baru ini.

“Sasaran utama pastinya mahu menewaskan Malaysia,” ujarnya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI).

“Sebenarnya para pemain tidak peduli jika pasukan menang dengan pasukan lain. Tetapi untuk Malaysia, cita-cita mereka (untuk menang) sangat besar,” tambahnya sambil menegaskan tiada toleransi untuk sikap tidak profesional dari pemainnya.

Ini kerana, pertembungan Indonesia-Malaysia yang dikenali sebagai Derbi Serumpun ini sememangnya panas sejak dulu dan dengan skuad Harimau Malaysia sudah lama tidak menang di Jakarta, pastinya ini bakal menambah rencah perlawanan nanti.

Kali terakhir skuad kebangsaan menewaskan Indonesia di Gelora Bung Karno adalah pada Kejohanan AFF 2004 dengan keputusan 2-1 dalam aksi separuh akhir dan dalam pertembungan terakhir kedua-dua pasukan, Malaysia tewas 0-3 pada 2016.

Indonesia tidak menentang mana-mana pasukan kebangsaan untuk perlawanan pemanas badan dan hanya berdepan kelab tempatan iaitu dua aksi bertemu Bhayangkara FC dan Persika Karawang dengan Sang Garuda menang kedua-duanya.

Untuk aksi antarabangsa tahun ini, Indonesia merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan iaitu ketika berdepan Jordan pada Jun lalu – tewas 1-4 di Stadium King Abdullah II, Amman.

Selepas kemenangan 2-0 menentang Bhayangkara FC, Simon Mcmenemy menyatakan kegembiraannya kerana para pemain berjaya menterjemahkan apa yang diingininya di dalam padang.

“Ujian yang cukup bagus. Sayangnya hujan turun sepanjang perlawanan yang membuat kedua-dua pasukan berhadapan kesukaran sehingga tidak dapat mempamerkan aksi maksium.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana pemain menterjemahkan arahan dalam permainan. Kami mengubah formasi pada 20 minit terakhirnya. Saya gembira menjelang pertemuan menentang Malaysia dengan dua formasi berbeza,” jelasnya kepada media.

Kredit Featured Image: Tempo News

Leave a Reply