Indonesia nampaknya meneruskan gerak kerja mereka dalam dunia bola sepak seperti tahun-tahun lalu untuk mendapatkan beberapa pemain naturalisasi atau warisan yang berkualiti untuk skuad kebangsaan.
Imbas kembali, Sang Garuda antara negara di Asia yang tampil aktif membawa masuk pemain-pemain warisan di seluruh dunia demi mempertingkatkan kualiti mereka pada pentas antarabangsa.
Beberapa nama besar sebelum ini iaitu Jordi Amat dan Kevin Diks antara bukti projek dilakukan mereka itu tampil memberikan impak positif buat bola sepak di negara tersebut kini.
Walaupun begitu, Indonesia kini juga tampil lebih memilih untuk mendaftarkan pemain warisan baharu, dan tidak sewenangnya memberi peluang seperti pernah dilakukan mereka suatu ketika.
Menurut pakar bola sepak di sana iaitu Gusnul Yakin, beliau melihat Indonesia kini tampil berbeza mengenai kerja pendaftaran pemain warisan untuk era Shin Tae-yong dan kini.
🚨 KEVIN DIKS APA TRENT ALEXANDER-ARNOLD ITU? 🔥😳🤯😱🥶 pic.twitter.com/vlX261nfNf
— Extra Time Indonesia (@idextratime) February 22, 2025
“Pendaftaran pemain warisan nanti saya lihat situasinya lebih ketat jika dibandingkan dengan era Shin (Tae-yong). Dulu Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) terpaksa daftarkan mana-mana pemain sahaja kerana pilihan terbatas.
“Sekarang saya yakin PSSI mempunyai pilihan untuk menilai mana-mana pemain warisan lebih berkualiti demi didaftarkan bersama skuad kebangsaan Indonesia,” ulas Gusnul menerusi laporan Bola.com.
Walaupun tidak semua pemain warisan Indonesia lalu mempunyai kualiti, Gusnul meminta kepada para peminat supaya tidak memberi kritikan atas beberapa faktor.
“Pemain warisan lama itu boleh dianggap sebagai pembuka jalan buat mereka yang lain untuk menyertai skuad Indonesia. Kita harus beri penghormatan kepada mereka.
“Apapun, PSSI perlu menghargai jasa pemain-pemain lama yang sudah didaftarkan sebelum ini. Jangan Habis madu, sepah dibuang. Semuanya perlu dilakukan secara profesional,” tambahnya lagi.
Akhir sekali, Gusnul juga meluahkan keyakinan PSSI pastinya mempunyai cara untuk menghargai para pemain tersebut walaupun mungkin kurang digunakan buat skuad utama Sang Garuda.
“Untungnya, pemain-pemain lama kebanyakannya masih lagi muda, jadi mereka boleh digunakan untuk skuad pembangunan Indonesia di pentas antarabangsa.
“PSSI pastinya ada cara untuk menggunakan khidmat mereka supaya ia tidak sia-sia buat bola sepak Indonesia menerusi kualiti dimiliki pemain muda tersebut,” kata Gusnul mengenai perkara itu.