Indonesia Ketuai Bidaan Hos Piala Dunia 2034, Anjuran Bersama Negara-Negara ASEAN

Kerajaan Indonesia mencadangkan agar Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengetuai sebuah konsortium mewakili rantau Asia Tenggara untuk menjadi tuan rumah bersama kejohanan Piala Dunia yang akan diadakan pada tahun 2034.

Demikianlah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi PSSI, Joko Driyono (gambar bawah) kepada media semalam.

Menurut Joko, cadangan penganjuran Piala Dunia 2034 akan diperbincangkan di dalam persidangan Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) pada 23 September tahun ini yang dijadualkan akan berlangsung di Nusa Dua, Bali.

“Persidangan berkenaan akan bermula pada 22 September di mana Jawatankuasa Pertandingan AFF akan memulakan pertemuan dalam persidangan tersebut.”

“Hari berikutnya, giliran ahli majlis AFF dan perkara berkenaan penganjuran Piala Dunia 2034 akan diperbincangkan.”

“Di sebelah malam pula, dijadualkan akan berlangsung majlis penganugerahan AFF,” ujar Joko Driyono menerangkan rangka program AFF September nanti.

Antara perkara yang akan dibangkitkan ialah jumlah negara ASEAN yang akan terlibat dalam penganjuran, prihal kewangan dan bajet serta langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan tempat secara automatik dalam kejohanan tersebut bagi negara penganjur.

Menurut Joko lagi, perbincangan akan lebih tertumpu kepada kesediaan negara ASEAN menganjurkan Piala Dunia, memandangkan edisi 2034 akan menampilkan 48 pasukan bertanding.

Stadium Gelora Bung Karno, Indonesia

“Antara perkara yang harus dititikberatkan dalam perbincangan tersebut ialah langkah-langkah untuk menaiktaraf prasarana bola sepak dan juga infrastruktur yang terlibat di kalangan negara ASEAN.”

“Memandangkan Piala Dunia 2022 diadakan di Qatar, ini bermakna 2034 adalah giliran negara Asia,’ ujar Joko lagi.

Kenyataan dari Joko ini turut menyokong pendedahan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF), Zaw Zaw yang berkata ASEAN bercadang untuk menawarkan diri sebagai penganjur Piala Dunia pada  Februari lalu.

Sebelum ini Singapura pernah mencadangkan agar negara ASEAN yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, Brunei, Kemboja, Myanmar, Singapura dan Vietnam menjadi penganjur bersama untuk Piala Dunia edisi 2030.

Sumber:

1. Channel News Asia (2017): Football: Indonesia to lead Southeast Asian 2034 World Cup bid;
http://www.channelnewsasia.com/news/sport/football-indonesia-to-lead-southeast-asian-2034-world-cup-bid-9005104

2. Mark Baber, Football Asia (2017): Indonesia gets serious about 2034 ASEAN World Cup hosting;
http://www.insideworldfootball.com/2017/07/04/indonesia-gets-serious-2034-asean-world-cup-hosting/

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN