Indonesia Hantar Staf Analisis Ke Belanda Untuk Pantau Pemain Warisan Baharu

Setelah gembira dengan keputusan positif yang dicatat oleh pasukan senior dalam aksi persahabatan baru-baru ini, Indonesia dilihat semakin mengorak langkah dalam usaha mereka untuk menjadi salah satu kuasa besar di Asia Tenggara.

Menerusi dua kemenangan berturut-turut mereka mengatasi Curacao sebelum ini membuktikan sentuhan Shin Tae-yong sangat berkualiti dan Indonesia mula tampil semakin stabil dalam aksi mereka.

Terbaharu, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam persediaan terbaharu mereka untuk rekrut tujuh pemain warisan bagi terus memperkukuhkan pasukan.

Misi mereka kali ini adalah untuk mendapatkan pemain warisan bagi untuk memperkuatkan skuad bawah 20 (B-20) dalam persediaan aksi Piala Dunia B-20 yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Pengarah teknikal PSSI iaitu Indra Sjafri antara wakil bakal dihantar ke Belanda dalam menjayakan misi tersebut selain rakan sejawat, Hamdan Hamedan, serta staf analisis Indonesia iaitu Kim Jong-jin.

Ketiga-tiga wakil tersebut sudah pun bertolak semalam untuk berjumpa serta menilai sendiri sendiri tujuh bakal pemain warisan itu sebelum diserap masuk ke skuad kebangsaan.

“Indra bersama Hamdan, dan Kim Jong-jin telah pun berlepas ke Belanda pada jam 5 petang semalam,” ujar Iriawan menerusi Bola.com.

Sebelum itu, Tae-yong sebenarnya telah menyenaraikan tujuh calon pemain warisan tersebut dengan lebih awal untuk diserahkan kepada PSSI bagi memperkukuhkan skuad B-20 Indonesia.

Iriawan yang menyimpan senarai nama tersebut setakat ini masih belum mendedahkan identiti mereka kepada umum kecuali dua pemain telah dikenalpasti.

“Di Belanda kini, kami masih lagi sedang memantau para pemain dalam senarai calon untuk didaftarkan ketika ini, kecuali dua nama dilihat sudah pun menepati piawaian,” terang Ketua Umum PSSI tersebut.

Pemain tersebut ialah Ivan Jenner yang kini beraksi bersama Jong Utrecht serta pertahanan, justin Hebner mewakili Wolverhampton Wanderers di England.

Menurut Iriawan lagi, PSSI sudah pun menghubungi baki lima lagi pemain untuk pendaftaran ketika ini serta sudah memulakan perbincangan bersama keluarga mereka.

Pada masa sama, beliau juga menegaskan agar tujuh pemain tersebut yang bakal mewakili skuad kebangsaan B-20 ini mesti memiliki kualiti lebih baik berbanding pemain tempatan lain.

“Pemain warisan yang akan didaftarkan ini mesti memiliki kualiti jauh lebih baik berbanding pemain tempatan di Indonesia.

“Apapun, kami akan sentiasa memaklumkan mengenai proses yang sedang berjalan ini apabila mereka dihantar itu tiba di Belanda untuk memulakan tugas,” tambah Iriawan.

Sumber:
Bola.com

Leave a Reply