Di saat pengerusi ASEAN, Jeneral Prayuth Chan o-cha menyatakan badan serantau itu akan membangunkan usaha untuk membida hak penganjuran Piala Dunia 2034, Indonesia mengambil jalan lain dengan cuba untuk membidanya bersama Australia.
Menurut News Straits Times, Indonesia dan Australia telah mula berbincang untuk kemungkinan tersebut pada mesyuarat khas Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Laos pada minggu lalu.
“Pada mesyuarat tersebut, kami bersetuju untuk teruskan bidaan penganjuran Piala Dunia bersama Australia,” jelas Gatot Widangdo, jurucakap kepada Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI).
Tahun lalu, tiga negara dari Asia Tenggara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam telah bersepakat menyatakan hasrat untuk membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034 dengan Malaysia telah menarik diri lebih awal iaitu sekitar penghujung tahun 2016.
Perkembangan terkini, 10 negara Asia Tenggara bersama-sama akan membida ini telah diumumkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 yang telah berlangsung di Thailand. Begitupun, masih perlu diperhalusi, mengapa Indonesia memilih jalan lain?
Mungkinkah disebabkan komen Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John Paul yang menyatakan mustahil untuk banyak negara bersama membida disebabkan sukar untuk dilaksanakan bermula dari pusingan kelayakan.
Perbincangan antara Indonesia dan Australia ini dikhabarkan telah berlangsung sejurus pengumuman oleh pengerusi ASEAN itu. Menurut Widangdo, Thailand seperti tidak lagi berminat untuk bersama-sama Indonesia menganjurkan Piala Dunia.
Menurut Widangdo lagi, Indonesia dan Australia juga akan turut bersama-sama membida hak penganjuran Piala Dunia B-20 yang dijangka akan berlangsung pada tahun 2021.
Adakah infrastuktur terutamanya stadium di Indonesia dan Australia mampu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)?
Untuk peringkat kumpulan sehinggalah ke pentas akhir Piala Dunia, FIFA telah menetapkan bahawa stadium-stadium yang terlibat perlu memiliki kapasiti 40 ribu sehingga 80 ribu penonton.
Dan hasil semakan, di Indonesia, stadium terbesarnya iaitu Gelora Bung Karno gagal menepati kriteria 80 ribu penonton tetapi masih memenuhi kriteria minimum 40 ribu penonton bersama-sama beberapa buah stadium lain seperti Stadium Palaran, Gelora Bung Tomo, Stadium Kanjuruhan dan Stadium Batakan.
Masih belum ada penjelasan daripada pihak Australia sejurus kenyataan daripada PSSI itu, dan terdapat juga perkembangan yang menyatakan bahawa New Zealand turut berminat untuk mengajak jirannya itu membida bersama mereka.