Indonesia telah mengumumkan senarai 23 pemain untuk saingan AFF Suzuki 2018 dan menariknya separuh daripada senarai tersebut adalah pemain-pemain yang berusia bawah 23 tahun.
Ketua jurulatih Sang Garuda, Bima Sakti turut menyenaraikan salah seorang penyerang sayap yang baharu sahaja selesai tugasannya di Kejohanan AFC B-19 baru-baru ini iaitu Saddil Ramdani.
Sekitar Mei 2018 yang lalu, Bima Sakti yang ketika itu merupakan pembantu jurulatih memaklumkan yang skuad AFF nanti bakal diperkuatkan oleh majoriti pemain-pemain B-23 tahun.
“Pemain yang diturunkan untuk AFF adalah pemain yang sudah mempunyai keserasian antara mereka terutamanya pemain B-23, jadi hanya tinggal untuk memasukkan beberapa pemain senior.
“Ketika ini kami sangat perlukan penyerang yang ada penyudah yang baik yang sentuhannya boleh membantu meningkatkan motivasi rakan sepasukan,” ujarnya dipetik daripada detikSport.
Bima Sakti baharu sahaja dilantik kurang sebulan yang lalu selepas ketua jurulatih, Luis Milla dilapor menghilangkan diri apabila Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI) menawarkan kontrak baharu.
Senarai pemilihan pemain oleh Bima Sakti turut menimbulkan persoalan kepada penyokong-penyokong Sang Garuda apabila dia dikatakan ‘terlepas pandang’ beberapa pemain terbaik.
Antara yang disebut-sebut adalah kapten, Boaz Solossa, pemain Kedah, Andik Vermansyah, Ahmad Jufriyanto (Kuala Lumpur) dan ‘the next Boaz‘, Terens Puhiri (Port FC, Thai League 1).
Andik yang beraksi baik bersama Kedah di Liga Malaysia (Liga M) tidak pernah terlepas saingan AFF sebelum ini dikatakan antara pemain yang mengejutkan apabila tidak tersenarai.
Selain itu, turut ditimbulkan oleh para penyokong ketika ini adalah ketiadaan pemain-pemain yang berasal daripada bahagian Timur Indonesia seperti pemain-pemain daripada Papua.
Menurut laporan TribunNews, ini merupakan kali pertama dalam sejarah penglibatan Indonesia sejak Piala Tiger dan kini AFF Suzuki, Indonesia beraksi tanpa pemain-pemain daripada Papua.
Mungkin sedikit melegakan, Bima Sakti masih menyenaraikan arkitek terbaik mereka, Evan Dimas dan juga pertahanan, Fachrudin Aryanto yang dijangka akan menjadi tulang belakang pasukan.
Pemain kelahiran Belanda yang dijangka bakal mencipta sensasi di AFF kali ini, Stefano Lilipaly turut berpeluang beraksi di AFF kedua sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan Indonesia.
Berikut adalah senarai 23 pemain Indonesia untuk saingan AFF 2018:
Penjaga gol: Muhammad Ridho (Borneo), Awan Setho (Bhayangkara), Andritany Ardhiyasa (Persija Jakarta)
Pertahanan: Fachrudin Aryanto, Alfath Fathiera (Madura United), Putu Gede Juni Antara (Bhayangkara), Bagas Adi (Arema), Gavin Kwan, Rizky Pora, Hansamu Yama (Barito Putera), Ricky Fajrin (Bali United)
Tengah: Zulfiandi (Sriwijaya), Evan Dimas (Selangor), Muhammad Hargianto (Bhayangkara), Stefano Lilipaly (Bali United), Septian David (Mitra Kukar)
Penyerang: Dedik Setiawan (Arema), Alberto Goncalves (Sriwijaya), Irfan Jaya (Persebaya Surabaya), Febri Hariyadi, (Persib Bandung), Riko Simanjuntak (Persija Jakarta), Saddil Ramdani (Persela)