Selangor dilaporkan telah menandatangani khidmat pencari bakat baharu mereka yang sebelum ini bertugas di Amerika Syarikat bersama Minnesota United iaitu Mohd Qayyum untuk terus memperkukuhkan pasukan.
Kenyataan itu dikongsikan sendiri oleh Qayyum menerusi media sosial X dengan beliau menyatakan kini sedia memberikan khidmat buat The Red Giants.
“Gembira untuk berkongsi yang saya sudah menyertai kelab tempatan, Selangor FC sebagai pencari bakat.
“Saya akan menyokong kelab daripada segi proses pencarian bakat untuk mengenalpasti pemain-pemain buat pasukan utama. Saya cuba yang terbaik untuk menyumbang sesuatu bersama kelab. Pada masa sama, saya akan terus bersama posisi semasa bersama Minnesota,” ulas beliau di X.
Happy to share that I've recently joined my local club, Selangor FC as Scout. I'll support the club's scouting process to identify players for the first team.
I'll try my best to contribute something to the club.
At the same time, I'll continue my position in Minnesota. pic.twitter.com/W6zVbHiDvH
— Muhd Qayyum (@Imqyym01) January 4, 2025
Untuk rekod, Qayyum sebelum ini merupakan pencari bakat buat Minnesota United yang kini sedang beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.
Kehadiran Qayyum jelas disambut baik oleh peminat tempatan di Malaysia terutama sekali membabitkan para penyokong Selangor yang mahu melihat perubahan positif buat pasukan tersebut.
Jika dilihat sejak beberapa musim lalu, perjalanan Selangor tidak begitu teruk cuma mereka dianggap memiliki isu dalam pemilihan pemain untuk ditandatangani bersama pasukan utama.
Tidak hanya membabitkan segelintir pemain tempatan yang kurang memberi impak buat pasukan, Selangor juga mempunyai isu dalam pemilihan tonggak import berkualiti bagi beberapa posisi.
Untuk saingan musim ini sahaja segelintir peminat di media sosial kurang berpuas hati dengan beberapa pemain import atau tempatan yang kurang memberikan impak berguna kepada kelab.
Antara yang dipertikaikan termasuk kelibat bekas penyerang kebangsaan Chile iaitu Ronnie Fernandez, apabila ketumpulan beliau jelas dirasai sejak awal saingan berlangsung walaupun dirinya telah merekodkan beberapa jaringan.
Sudah tentu kehadiran Qayyum diharap mampu untuk mencipta sedikit perubahan dalam kalangan pemain Selangor supaya beliau dapat memilih dengan tepat untuk memberikan impak positif di atas padang.
Menerusi pengalaman Qayyum yang bersama beberapa kelab di luar negara sebelum ini, dijangka beliau bakal menggunakan segala kepakaran untuk mengesan pemain berkualiti bagi diserap salah satu kelab gergasi di Malaysia itu.
Setidaknya, ia merupakan salah satu inisiatif kelab yang perlu dipuji apabila mereka mendapatkan orang yang tepat untuk membantu pasukan tersebut terus membangun baik di pentas domestik atau Asia.