Pemain sayap lincah, Sony Norde dijangka bakal menjadi antara tumpuan utama bagi aksi sulung Kedah Darul Aman (Kedah) untuk menghadapi cabaran Kuala Lumpur City (KL City) bagi saingan Piala Malaysia musim 2024/2025.
Terdahulu, Kedah bakal melayan kunjungan KL City di Stadium Darul Aman (SDA) untuk saingan Piala Malaysia dalam misi kedua pasukan itu untuk cuba melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Untuk rekod pertemuan, kedua pasukan ini sudah pun bertembung sekali dalam saingan Liga Super dengan ianya berpihak kepada KL City di Cheras menerusi kemenangan besar.
Pada aksi tersebut, KL City meraih kemenangan 5-0 ketika Kedah hadir serba tempang tanpa pemain-pemain utama yang memboikot untuk bersama kelab berkenaan.
Walaupun begitu, situasi semasa dijangka akan berubah kerana Kedah bakal membawa turun kesebelasan utama terbaik mereka untuk menghadapi cabaran daripada pasukan pelawat.
Berikut merupakan empat pemain tumpuan buat kedua pasukan yang dijangka akan memberi impak besar dalam perlawanan tersebut untuk membanru kelab masing-masing meraih kemenangan.
Sony Norde
Pemain sayap lincah itu menjadi antara tunjang utama kekuatan Sang Kenari pada saingan musim ini menerusi kualiti dimiliki beliau untuk menghidupkan jentera serangan.
Lincah, pantas, dan kreatif menjadi kelebihan Sony untuk mengatasi pertahanan lawan selain beliau turut memiliki keupayaan tinggi melepaskan rembatan deras tepat ke gawang gol.
Statistik semasa menyaksikan Sony sudah meledak dua gol bersama empat bantuan jaringan daripada 16 perlawanan dihadapi bersama pasukan itu.
Kapten Kedah ini juga memiliki kerajinan untuk membantu penguasaan bola kekal menjadi milik kelab diwakili beliau selain keupayaan membuat hantaran-hantaran tepat kepada rakan sepasukan.
Cleylton dos Santos
Pertahanan kental dari Brazil tersebut antara pemain paling berharga dimiliki Kedah pada saingan musim ini, ekoran impak positif ditinggalkan beliau bersama kelab berkenaan.
Selaku pertahanan tengah, Cleylton tampil begitu berdisiplin bersama rakan sepasukan lain untuk memastikan lawan tidak sewenang-wenangnya memperoleh peluang mencipta sesuatu berbahaya buat Kedah.
Tidak hanya terarah kepada posisi pertahanan, Cleylton juga memiliki keupayaan tinggi untuk merekodkan jaringan bersama pasukan itu apabila kini beliau sudah mengumpul empat gol daripada 16 penampilan semasa.
Haqimi Azim
Bintang muda Harimau Malaya ini boleh dianggap sedang melalui detik terbaik beliau di pentas Liga Malaysia serta bersama skuad kebangsaan setelah kini dirinya lebih banyak diberi peluang beraksi.
Sepanjang mengharungi 15 perlawanan, Haqimi sudah pun meledak empat gol serta tiga bantuan jaringan termasuk di pentas ACC Shopee Cup bersama aksi menyakinkan.
Berkelebihan di posisi penyerang utama dan sayap kanan, Haqimi memiliki keupayaan daripada segi perebutan bola di udara serta tajam di hadapan gawang gol menerusi rembatan deras dimiliki.
Paulo Josue
Mr. Kuala Lumpur ini meneruskan momentum terbaik beliau di saingan Liga M musim 2024/2025 bersama KL City untuk mencipta rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan berkenaan.
Statistik semasa beliau bersama kelab tersebut musim ini juga sangat mengujakan apabila Josue sudah pun merekodkan 11 gol bersama tiga bantuan jaringan daripada 15 perlawanan.
Lebih menarik, Josue juga masih lagi segar dengan jaringan beliau ketika mewakili Malaysia sewaktu menghadapi cabaran India.