Penyokong JDT Ini Terangkan Impak Perpindahan Natxo Insa Kepada JDT & Malaysia

Seorang penulis bebas iaitu Hairi Mohd telah menulis mengenai kehadiran Natxo Insa dan kesannya kepada JDT dan juga kepada bola sepak Malaysia.

Jom baca tulisan beliau!

Jawapan kepada taktikal Benjamin Mora

Ignacio ‘Natxo’ Insa Bohigues atau dikenali sebagai Natxo Insa yang baru sahaja berjaya ditandatangani oleh pasukan JDT daripada Levante merupakan seorang pemain tengah bertahan (defensive midfielder).

Oleh itu beliau pasti akan diberikan peranan untuk bermain sebagai ‘pivot’ pasukan dalam sistem 4-3-3 atau double ‘pivot’ dalam sistem 4-2-3-1 yang pernah dibentuk oleh Benjamin Mora.

Sebelum kehadiran Natxo Insa, JDT telah membawa masuk seorang pemain asing baharu iaitu Mohammed Ghaddar yang merupakan seorang penyerang tulen.

KELANTAN- Kelantan player, Muhammad Ghaddar Malaysia Super League/ Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my

Memandangkan Ghaddar cenderung untuk melancarkan serangan secara individu ke arah pintu gol pihak lawan, kehadiran Insa mungkin akan memberikan lesen penuh kepada Mora untuk kembali menggunakan strategi asal JDT yang mula-mula dipraktikkannya semasa perlawanan Piala Sumbangsih pada awal musim iaitu 4-2-3-1.

Mora pernah mengatakan bahawa masalah JDT ialah mereka tidak mempunyai penyerang tulen dan pemain tengah bertahan mereka pula kurang pengalaman.

Oleh itu kemungkinan besar, Mora akan kembali meletakan Safiq Rahim untuk bergandingan dengan Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera di belakang Ghaddar manakala Ghaddar diberikan posisi penyerang tunggal.

Manakala Insa akan diberikan peranan mengemudi bahagian tengah bertahan bersama-sama dengan seorang lagi pemain muda JDT iaitu Afiq Fazail.

Fungsi Insa dalam usaha mengukuhkan barisan pertahanan JDT

Tiada perubahan yang ketara dijangka akan berlaku terhadap barisan pertahanan JDT kerana mereka masih lagi mengekalkan status sebagai pasukan yang paling sedikit dibolosi oleh mana-mana pasukan dalam Liga Super.

Namun, perubahan yang ketara dijangka akan berlaku terhadap keupayaan JDT untuk menangkis serangan pihak lawan.

Kehadiran Insa pasti akan mengetatkan lagi barisan pertahanan JDT, kerana pengalaman dan kecemerlangannya bersama Levante akan membantu JDT menyerap asakan-asakan pihak lawan dan beliau juga berkeupayaan untuk turun dengan segera bagi membantu pasukan membentuk barisan pertahanan yang ampuh.

Nilai Natxo Insa kepada JDT dan Harimau Malaya

Saya ingin memetik kenyataan daripada laman sosial rasmi JDT yang menyatakan bahawa, “pastinya mempunyai pemain yang berpengalaman luas dan bermain di tahap yang tinggi ini sebagai pemain tempatan adalah satu kelebihan besar”.

Oleh itu terdapat isyarat yang jelas daripada pihak JDT iaitu Insa akan didaftarkan sebagai pemain tempatan, memandangkan beliau merupakan pemain berstatus pemain kacukan tempatan kerana neneknya mempunyai pertalian darah dengan negara ini.

Tambahan pula adik kandung kepada Natxo, iaitu Kiko Insa telah berjaya didaftarkan oleh pasukan Pahang sebagai pemain tempatan . Justeru, bukanlah menjadi suatu perkara mustahil buat Natxo untuk mengambil langkah yang sama.

Saya berpendapat bahawa, kehadiran Natxo Insa ke dalam kancah bola sepak Malaysia sebagai pemain tempatan merupakan suatu usaha ‘serampang dua mata’ Tunku Mahkota Johor yang merupakan pemilik kelab JDT dan juga presiden FAM.

Kemasukan Insa bakal memperkuatkan pasukan JDT dan secara tidak langsung akan mengisi ruang kelemahan pada bahagian tengah skuad Harimau Malaya.

Sesungguhnya kehadiran Insa akan memudahkan tugas ketua jurulatih Harimau Malaya, iaitu Nelo Vingada untuk mencari pemain ‘pivot’ yang paling sesuai bagi skuad negara.

Kembalinya Harris Harun ke JDT

Laman sosial rasmi JDT juga ada menyebut bahawa Harris Harun akan kembali menyarung jersi JDT pada tahun 2018, manakala tiada penyingkiran pemain import akan dilakukan oleh JDT semasa jendela perpindahan pemain kali kedua ini.

Penyataan rasmi ini menguatkan lagi teori saya bahawa Insa telah menerima status pemain tempatan kerana kini JDT telah mempunyai empat orang pemain asing iaitu Mohammed Ghaddar, Gabriel Guerra, Gonzalo Cabrera dan Marcos Antonio.

Maka jika kehadiran Insa tidak akan menggugat kedudukan empat orang pemain asing yang sedia ada, maka penganugerahan status pemain tempatan ialah penyelesaian yang ideal untuk membenarkan Insa didaftarkan dalam skuad JDT bagi musim ini.

Namun begitu harus diingat, dengan kembalinya Harris Harun ke JDT pada musim hadapan maka salah seorang daripada empat pemain asing JDT akan terpaksa disingkirkan melainkan terdapat perubahan dalam peraturan liga Malaysia (5 pemain asing) pada musim akan datang.

Menurut laman JST lagi, kehadiran Insa akan menguatkan bahagian tengah pasukan melalui formasi gabungan tiga pemain tengah iaitu Safiq, Insa dan Harris.

Johor Darul Ta’zim player Safiq Rahim in action during 2017 Malaysia FA Cup match against Pahang at Larkin Stadium. Photo by Rizanizam/asiana.my

Melalui informasi ini, jelas bahawa pasukan JDT tidak akan sama sekali kembali menggunakan taktikal 4-4-2 yang pernah digunakan oleh Mario Gomez.

Saya percaya bahawa JDT akan kekal dengan sistem pemain tengah bertiga yang dipraktikan oleh Mora sejak awal musim ini lagi.

Pertembungan ‘Insa Bersaudara’

Selain itu kesan kehadiran Insa dalam skuad JDT, persaingan di antara pasukan JDT dengan musuh tradisinya iaitu pasukan Pahang akan bertambah rancak.

Pertembungan di antara dua gergasi tersebut bakal menjadi suatu pertembungan klasik yang ditunggu-tunggu oleh para peminat liga bola sepak tempatan kerana perlawanan tersebut akan menjadi pertembungan istimewa Insa Bersaudara.

Pertembungan tersebut akan menjadi perlawanan mega kerana kedua-dua ‘Insa Bersaudara’ bermain di posisi yang sama iaitu pemain tengah bertahan yang pasti mampu mempengaruhi corak permainan kedua-dua buah pasukan di samping menjadi nadi kepada perancangan kedua-dua orang jurulatih pasukan.

Natxo Insa ialah pemain profesional yang bermain di peringkat bola sepak yang tinggi. Beliau merupakan pemain penting pasukannya, iaitu Levante UD yang baru menjuarai Segunda Division dan dinaik taraf ke liga utama bola sepak Sepanyol iaitu La Liga.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa berita kehadiran Natxo pasti akan menjadi suatu berita sensasi dan kembali menghangatkan nilai populariti pasaran perpindahan pemain liga Malaysia.

Impak Natxo Insa kepada Liga Malaysia

Liga Malaysia akan kembali mengecap popularitinya persis tiga tahun yang lalu, iaitu semasa kejayaan pasukan JDT membawa Pablo Aimar ke Johor.

Walaupun nama Natxo Insa tidak segah Pablo Aimar, namun kehebatan latar belakang kariernya sudah cukup untuk membuatkan nama skuad Harimau Selatan itu kembali melonjak dan menjadi sebutan para pemerhati bola sepak di rantau ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN