Di sebalik permulaan cemerlang sejak menyertai Liverpool pada awal musim ini, Darwin Nunez mendedahkan beliau mahu memperbaiki kemahiran berbahasa Inggeris bagi memudahkan komunikasinya dengan semua pihak di kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Penyerang Uruguy tersebut tiba di Anfield dengan tag harga bernilai £85 juta dari Benfica selepas menjaringkan 34 gol dalam semua pertandingan untuk kelab Portugal berkenaan pada musim lalu.
Nunez bertekad mahu mengukuhkan namanya di saingan liga paling popular di dunia itu, namun menyedari aspek komunikasi dengan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan adalah amat penting untuk meningkatkan mutu permainannya.
“Masa demi masa berlalu, saya terus mencuba untuk mempelajari bahasa Inggeris agar saya boleh berborak dengan lebih ramai pemain lain,” ujar Nunez kepada media Liverpool.
“Saya benar-benar bersugguh mahu mempelajari bahasa Inggeris kerana ia amat penting dalam segalanya. Jadi apabila saya mampu memperbaikinya, saya boleh bercakap dengan semua orang di sini.”
Walaupun bermula dengan perlahan semasa peringkat awal jelajah pra-musim, Nunez bangkit mencuri hati penyokong The Reds dengan aksi menakjubkan ketika perlawanan berdepan RB Leipzig dan kemudian jaringannya membantu Liverpool menjulang kejuaraan Perisai Komuniti.
Tempoh hari ketika aksi pembukaan EPL menentang Fulham pula beliau masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dan tidak menunggu lama untuk mencipta impak.
Barisan pertahanan Fulham ternyata bergelut dengan kehadiran pemain berusia 23 tahun ini yang berhasil mencetak satu gol dan mencipta bantuan jaringan bagi gol kedua pasukannya.
Pastinya penyokong Liverpool mula mengharapkan Nunez diturunkan dalam kesebelasan utama untuk aksi menenetang Crystal Palace pada Isnin depan.