Dalam dunia bola sepak moden, wang itu merupakan satu perkara yang cukup penting.
Rumusnya mudah, pasukan anda punya wang yang banyak maka pasukan anda mampu untuk memiliki segalanya dan memenangi segalanya.
Di satu sudut yang lain dalam bola sepak, terdapat golongan pemain-pemain muda yang berpotensi tinggi untuk berjaya dalam karier profesional mereka sebagai pemain bola sepak.
Malah, ada juga kelompok pemain muda ini digelar sebagai wonderkid kerana mereka mempunyai terlalu besar potensinya untuk berjaya.
Namun begitu, potensi mereka itu boleh musnah akibat tekanan dari pihak media yang melampau, disiplin pemain itu sendiri dan juga perkara yang begitu ketara ketika ini iaitu wang.
Dengan lambakan wang dalam industri bola sepak ketika ini sehingga mengakibatkan inflasi terutamanya di England, para pemain muda telah dibuai dengan kontrak yang berjumlah tinggi ketika usia karier profesional mereka baru setahun jagung.
Jangan buaikan dengan wang ringgit
Pemain Manchester City, Ilkay Gundogan berasakan perlunya kewujudan sistem gaji siling (salary cap) bagi para pemain muda.
Hal ini bertujuan untuk menghalang para pemain dari terus lena dibuai wang ringgit yang meninggi nilainya terutamanya pada usia awal karier profesional mereka.
Selain itu, ia akan mencabar para pemain muda untuk berkerja keras sebelum diberikan ganjaran setimpal hasil dari usaha mereka.
“Apa kata perkenalkan peraturan yang menghadkan jumlah gaji pemain muda sebelum usia mereka mencecah 20 tahun. Kenapa tidak?”
Bagi Gundogan, ia memberikan impak positif kepada pemain muda itu sendiri. Selain mendorong mereka untuk berkerja lebih keras, ia juga turut membantu memperkembangkan bakat pemain itu sendiri.
“Ada pemain muda yang tertarik dengan tawaran wang yang lumayan dari kelab yang besar. Pada saya, eloklah pemain itu terus kekal di kelab beliau bermain ketika itu dan kembangkan bakatnya berbanding ke kelab besar itu.”