Tular ketika ini di media sosial apabila terdapat kontroversi pemain-pemain Kelantan tidak dibayar gaji.
Bukan itu sahaja, terdapat pelbagai isu yang menyelubungi Kelantan dan pemiliknya iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham sekali lagi menjadi tumpuan.
Isu pemain Kelantan tidak dibayar gaji telah menjadi bualan hangat di media sosial dengan dikatakan mereka cuma dibayar separuh sahaja.
Selebihnya, kalau nak gaji lagi perlu menang, menang dan menang perlawanan bola sepak.
Di Facebooknya, Zamsaham menjelaskan yang para pemainnya perlu mencapai kemenangan barulah gaji akan dibayar penuh.
Menurut Zamsaham, sudah 10 kali kalah pastinya pihak pengurusan perlu membuat sesuatu untuk memastikan pemainnya kembali fokus mencari kemenangan.
Zamsaham memberikan kata dua iaitu mereka perlu menang dua aksi seterusnya dan barulah baki gaji yang ditahan akan diberikan.
Dan aksi yang bakal menanti mereka adalah sukar iaitu bertemu Kedah Darul Aman dan PDRM.
“10 kali dah kalah. Satu menang dan satu seri, nombor 13 daripada 14 [pasukan].
“Nak KPI penuh? Nak gaji penuh? Boleh, sila berikan kemenangan [dalam] dua perlawanan seterusnya dan 50% yang ditahan akan dapat penuh,” tulis Zamsaham.
Zamsaham juga mengatakan beliau ingin mengekalkan hanya yang terbaik sahaja di Kelantan dan menyingkirkan golongan tidak mencapai standard.
“Anda ada komitmen, saya juga ada komitmen. Berikan saya prestasi, pekerja yang baik kita kekalkan. Mana yang prestasi buruk saya akan buang,” kata Zamsaham lagi.
Mengikut logik, pemain Kelantan perlu menang semua perlawanan untuk dapatkan gaji penuh sepanjang musim.
Jika tidak, pasti akan ada yang ditahan.
Mengulas mengenai isu jersi Kelantan yang tidak berkualiti serta lewat sampai kepada penyokong, Zamsaham mengatakan yang perkara tersebut diserahkan kepada pengurusnya.
“Isu-isu berkenaan jersi biarlah pengurus saya jawab. Saya minta mereka pulangkan saja duit kalau benar jersi itu rosak dan tak selesai.
“Jersi dijual banyak, patut saya boleh buat untung banyak. Tapi ianya tidak dapat dipenuhi. Sayang, saya perlu buat sesuatu,” ujar Zamsaham.