‘Ikhlas & Kontrak Tanpa Gaji’ – Formula Honda Bangkitkan Bola Sepak Kemboja

Kelibat Keisuke Honda di kawasan teknikal skuad Kemboja pasti akan mencuri tumpuan penonton penyokong bola sepak di Asia Tenggara.

Apa tidaknya, bekas pemain antarabangsa Jepun itu pernah dianggap sebagai antara pemain terbaik benua Asia pernah hasilkan, mengharumkan nama Jepun di persada dunia.

Memulakan karier bersama kelab elit Jepun, Nagoya Grampus Egiht, Honda mendapat perhatian kelab Belanda, VVV Denlo selepas beraksi tiga musim di J-League.

Karier di Eropah

Peranannya sebagai pemain tengah yang kreatif, telah menaikkan namanya di Belanda, lantas membuka pintu kepada perpindahannya ke kelab Russia, CSKA Moscow, dan di sinilah saham Honda betul-betul naik mencanak.

Bersama CSKA Moscow Honda menjuarai Piala Russia pada musim 2010/2011. Dek cemerlang di atas padang, Honda telah dipilih sebagai pemain terbaik kelab pada musim tersebut.

Penampilan beliau bersama kelab Rusia itu di pertandingan UEFA Champions League turut memukau sehingga menjadi pemain Jepun pertama yang bermain di pusingan suku akhir UCL dan menjaringkan gol dalam pusingan kalah mati.

Karier bersama AC Milan juga antara yang paling dikenang, dan di Itali pemain itu telah menjulang Supercoppa Italiana pada tahun 2016.

Bola sepak sebuah pengembaraan

Bagi pemain seperti Honda, bola sepak ibarat sebuah pengembaraan. Kebiasaannya pemain Asia yang berkelana di Eropah akan kembali ke negara masing-masing pada penghujung karier. Namun ianya tidak sedemikian untuk pemain ini.

Sebaik meninggalkan Itali, Honda menyertai kelab Mexico, Pachuca, selama semusim, sebelum terbang merentas Lautan Pasifik menyertai kelab A-League di Australia, Melbourne Victory.

Selepas semusim, Honda sekali lagi berpindah benua apabila dia kembali ke Belanda dan menyertai kelab Vitesse Amhem, namun mengangkat kaki selepas hanya beraksi dalam empat perlawanan.

Honda menyertai kelab Brazil, Botafogo, dengan kontrak selama semusim pada Januari 2020. Walaubagaimanapun, dengan kontraknya berbaki tiga bulan, Honda bertindak meninggalkan kelab tersebut kerana kecewa dengan kekerapan pertukaran jurulatih pasukan sebanyak empat kali, selain mereka gagal mendapatkan keputusan yang tidak memberangsangkan.

Beliau pernah cuba menyertai  kelab Portugal, Portimonense namun niat tersebut tidak menjadi kenyataan disebabkan syarat pendaftaran pemain di Liga Portugal.

Honda kemudiannya ke Azerbaijan, menyertai Neftci Baku pada bulan Mac 2021 sehingga tamat musim. Pada September tahun yang sama, Honda menyertai FK Suduva di Lithuania dan kontraknya akan tamat pada bulan Disember 2021.

Menjadi satu-satunya pemain yang pernah beraksi di setiap benua, bola sepak ibarat sebuah pengembaraan bagi Honda di mana beliau boleh mempelajari budaya baharu setiap kali berhijrah ke tempat baharu. Walaupun telah beraksi di banyak tempat, Kemboja sentiasa mempunyai tempat yang istimewa di dalam hati pemain ini.

Honda ikhlas 

Selepas mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa, Honda telah menerima tawaran untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan Kemboja pada bulan Ogos 2018 selama dua tahun. Anehnya, Honda menerima tawaran tersebut secara percuma tanpa sebarang bayaran.

Disebabkan komitmen beliau sebagai pemain sebelum ini, beberapa jurulatih turut dilantik untuk membantu beliau mengendalikan pasukan itu. Hari ini Ketua Jurulatih Kemboja adalah Ryu Hirose yang setia membantu Honda setiap kali pemain itu tidak bersama pasukan.

Honda juga telah melanjutkan kontrak untuk kekal bersama Kemboja sehingga 2023. Persoalan yang terutama pula ialah mengapa Honda sanggup berkongsi kepakarannya tanpa sebarang bayaran?

“Saya ingin  membantu pasukan kebangsaan Kemboja mencipta satu gaya permainan yang jelas dan mempromosikan Kemboja ke dunia luar,” kata Honda yang kini berusia 35 tahun.

Pada majlis pengenalannya pada 2018, presiden bola sepak Kemboja, Sao Sokha berkata: “Honda telah menawarkan dirinya untuk membantu bola sepak kebangsaan Kemboja, dan dia bersetuju untuk tidak mengambil gaji. Tetapi FFC akan membayar segala kos perjalanannya dan juga kediaman.”

Sepanjang menjadi pemain dan pengurus pasukan kebangsaan, Honda hanya akan bersama Kemboja mengikut kalendar antarabangsa FIFA, di samping mengadakan pertemuan mingguan secara maya bersama kesemua barisan kejurulatihan Kemboja.

Jika Honda tidak dapat hadir ke perlawanan, pembantunya Ryu Hirose akan mengendalikan pasukan berdasarkan arahan yang diberikan oleh Honda.

Impak kehadiran Honda

Kehadiran Honda nyata telah berjaya menghadirkan impak positif ke dalam pasukan kebangsaan Kemboja.

Kemboja menghasilkan satu permainan yang dianggap berani dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 – walaupun tewas 1-0 kepada Bahrain – pada September 2019.

Beraksi di hadapan kira-kira 45,000 penyokong sendiri di Phnom Penh, Kemboja tampil sebagai pasukan yang lebih menarik perhatian dengan pelbagai inisiatif untuk melakukan serangan ke kubu Bahrain.

Bahrain bagaimanapun berjaya mencuri salah satu peluang – jarang diperolehi – dalam perlawanan ini melalui Kamil Al-Aswad pada minit ke-78 perlawanan.

Kedudukan 1-0 memihak kepada Bahrain itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Walaupun tewas, penampilan oleh Kemboja dalam perlawanan ini mulai mencuri tumpuan ramai. Skuad kendalian bekas pemain tengah AC Milan dan Jepun ini jelas tampil dengan taktikal perlawanan yang lebih teratur, dan yakin dalam setiap gerakan.

Formula Honda bangkitkan Kemboja

Dan rahsianya mungkin terkandung di dalam dua video yang pernah dikongsikan oleh Honda melalui laman Instagram beliau ini.

Di dalam video di atas, Honda memberitahu pemain-pemainya untuk mengekalkan corak permainan yang telah diterapkan ketika latihan. Walaupun menentang pasukan yang lebih bagus, Honda tidak mahu Kemboja bertahan dan hanya mengharapkan serangan balas.

Malah Honda percaya corak permainan yang beliau terapkan mampu membentuk masa depan bola sepak Kemboja, sekaligus akan mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang menyaksikan perlawanan.

Sebagai Ketua Jurulatih, Honda juga mahukan pasukan Kemboja mulai melakukan perubahan dari segi mentaliti dan juga taktikal.

Antara petikan kata-kata pengendali dari Jepun itu kepada barisan pemainnya ialah:

“Saya bukan bercakap mengenai kualiti. Saya bercakap mengenai perkara di sini [jiwa]. Saya juga tidak bercakap mengenai kesilapan. Saya tidak pernah bercakap mengenai kesilapan. Tetapi jika anda takut, itulah perkara yang akan membuat saya marah.”

Piala AFF 2020

Kemboja mungkin telah tewas dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF 2020 setakat ini.

Namun jika mahu dibandingkan dengan skuad Kemboja 5 atau 10 tahun lalu, pasukan Kemboja kali ini menampilkan corak permainan berbeza.

Menentang Malaysia, skuad kendalian Kaisuke Honda itu menampilkan permainan yang kemas, selesa memegang bola dan mencatatkan statistik penguasaan bola yang lebih baik, iaitu 56.9% dan turut memiliki 10 sepakan penjuru (berbanding 5 Malaysia).

Kemudian ketika aksi berdepan Indonesia, meskipun tewas dengan keputusan 4-2, Kemboja mampu mengimbangi corak permainan pantas yang cukup menghiburkan bagi sesiapa sahaja yang menonton perlawanan ini.

Walaupun hadir ke kejohanan ini dengan status ‘underdog’ mereka tidak mempamerkan gaya permainan yang defensif atau sering kita sebutkan sebagai taktik ‘parkir bas’. Ini kerana mereka kekal utuh dengan idea dan falsafah bola sepak yang diterapkan oleh Honda sejak lima tahun kebelakangan ini.

Dengan apa yang ditampilkan oleh Kemboja setakat ini, tidak mustahil mereka akan menjadi salah satu pencabar buat pasukan-pasukan lain di rantau ini seperti mana revolusi luar biasa Vietnam yang dapat kita saksikan hasilnya pada hari ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN