Iker Casillas mengakui dirinya sebagai rakan karib dan juga peminat kepada Gianluigi Buffon. Beliau berkata:
“Kalaulah lawan Juventus itu bukan Real Madrid, sudah pastinya saya mahukan Buffon menjuarai UCL.”
Buffon berhak menjulang UCL
Kenyataan itu dibuat Casillas selepas beliau merasakan Buffon berhak untuk menjuarai UCL di dalam karier beliau. Ianya menjadi satu-satunya trofi ‘besar’ yang belum dimenangi Buffon.
Buffon sudah 2 kali beraksi di final UCL pada 2003 dan 2015, namun kedua-duanya berakhir hampa. Pastinya beliau berharap cubaan ketiga kali ini berhasil.
Casillas juga menjadikan Buffon sebagai inspirasi beliau. Pada usia 39 tahun, Buffon membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal kompetitif.
Casillas juga berpandangan, Buffon memang pemain istimewa sejak peringkat awal remaja lagi.
“Beliau memulakan karier dengan Parma pada usia 17 tahun. Ketika itu saya baru berusia 14 tahun.”
“Pada ketika itu saya rasa kagum dengan pemain yang berusia 17 tahun tetapi sudah mampu berada dalam pasukan Parma.”
Untuk pengetahuan pembaca semuanyaBOLA, Parma ketika itu dipenuhi dengan bintang-bintang bola sepak dunia.
“Saya mengagumi dan meminati beliau. Saya cuba mengikut jejak langkah beliau kerana saya ada perasaan ‘cemburu’ dengan beliau.”
“Perlahan-lahan saya akhirnya berjaya bermain untuk skuad utama Real Madird pada 2001. Tahun yang sama beliau menyertai Juventus.”
“Selepas itu karier kami berdua sama-sama membangun ke peringkat lebih tinggi.”
Ketika ditanya wartawan, adakah Buffon layak untuk memenangi Ballon d’Or?
Casillas menjawab:
“Ballon d’Or? Mungkin ia bukan anugerah untuk penjaga gol. Sukar untuk memperkatakan perkara ini.”
“Ada beberapa contoh di masa lalu yang saya rasa berhak mendapat anugerah itu (Ballon d’Or) tetapi gagal. Pertamanya yang sedang berlegar di kepala saya adalah Peter Schmeichel.”
“Beliau membantu Manchester United memenangi treble pada 1999. Namun tidak memenangi Ballon d’Or.”
“Seterusnya Oliver Kahn pada 2002. Itu antara contoh penjaga gol yang benar-benar hampir memenangi Ballon d’Or. Tetapi masih gagal.”
“Saya tidak pernah merungut atau memperjuangkan isu penjaga gol yang kerap dipinggirkan. Hanya Lev Yashin memenangi anugerah itu pada 1963.”
“Ia mengingatkan saya kepada peristiwa manusia menjejak kaki di bulan pada era 60-an. Sangat lama detik itu sudah berlalu dan ramai antara kita tidak mengingatinya.”
Pertemuan final UCL 2016/17
Casillas menjangkakan pertemuan Real Madrid dan Juventus akan sengit.
“Ia akan menjadi perlawanan yang seimbang. Juventus sentiasa ada kubu kental di bahagian pertahanan. Dan kini mereka turut memiliki penggempur berbisa di serangan.”
“Dengan nama-nama seperti Higuain, Mandzukic dan Dybala. Serangan Juventus sangat bahaya.
“Madrid turut memiliki barisan serangan yang kuat diketuai Cristiano Ronaldo seperti biasa. Dan Real Madrid juga sangat bagus di pertahanan. Cuma saya nak katakan, Juventus lebih kompak. Jadi ia perlawanan 50-50.”
Casillas cadangkan Juventus dapatkan Donnarumma
Ditanya tentang siapa pengganti yang sesuai untuk Buffon setelah penjaga gol itu bersara kelak. Casillas dengan pantas berkata:
“Donnarumma! Juventus harus memikirkan cara untuk mendapatkan penjaga gol AC Milan ini. Selepas berjaya mendapatkan Donnarumma, mereka (Juve) boleh membenarkan pemain itu dipinjamkan ke luar.”
“Ini untuk memastikan pemain muda ini terus bermain di dalam kesebelasan utama.”
“Dan bila tiba saat Buffon bersara, ini bermakna, Donnarumma akan terus mengambil alih tempat Buffon.”
“Tidak ada penjaga gol di Eropah pada usia 18 tahun yang mampu mengatasi kehebatan Donnarumma.”
“Donnarumma juga masih dalam proses untuk mematangkan dirinya dalam aspek permainan.”