Pasukan gergasi pantai timur, Terengganu FC 1 (TFC 1) telah mengumumkan kemasukan pemain pertahanan import kelahiran Serbia iaitu Igor Zonjic bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Kehadiran Igor akhirnya melengkapkan senarai lima pemain import yang akan memperkuatkan pasukan TFC 1 musim depan.
Ketua Jurulatih TFC 1, Irfan Bakti Abu Salim berkata kepada Sinar Harian, skuad bimbingannya itu kini boleh menumpukan perhatian pada sesi latihan selepas Igor menandatangani kontrak semusim bersama pasukan itu di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu.
Irfan menjelaskan kehadiran pemain berusia 26 tahun itu bukan sahaja dilihat mampu memperkuatkan benteng pertahanan pasukan bahkan menyelesaikan kepincangan barisan terakhir pasukannya.
“Musim lalu kami mudah dibolosi melalui situasi bola mati dan saya harap dengan adanya Igor ini nanti, dia berupaya memimpin kubu pertahanan kami daripada terus mengulangi kesilapan yang sama.
“Apa pun saya bersyukur kerana dia kini sudah berada bersama kita dan mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan petang nanti. Selain pemain tempatan dia akan cuba saya gandingkan dengan Thierry Bin yang boleh juga beraksi di bahagian pertahanan,” katanya.
Sementara itu, Igor Zonjic berkata beliau akan segera menyesuaikan diri dengan corak permainan liga Malaysia dan mengakui masih berada pada tahap kecergasan terbaik sebaik tamat saingan Liga Serbia bersama bekas kelab, FK Rad minggu lalu.
“Saya sangat gembira dan teruja berada di sini dengan keadaan cuaca dan bandar yang baik. Jadi saya harap kesemuanya berjalan lancar dan saya yakin 2018 akan menjadi musim yang cemerlang buat kami,” katanya.