Penyerang import baharu PDRM, Ifedayo Olusegun dilaporkan bersedia untuk membuktikan dirinya selaku antara pemain paling berbisa pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.
Ketika ini, Ifedayo sudah pun mempamerkan taring beliau bersama ‘The Cops’ apabila dirinya telah meledak dua gol pada aksi persahabatan lalu sewaktu menentang Kuala Lumpur City (KL City).
Dua jaringan pengenalan itu membuktikan dirinya masih lagi mempunyai taring di hadapan gawang gol walaupun kini kebanyakan kelab menandatangani ramai penyerang import lebih muda.
Nama penyerang prolifik itu bukan lagi suatu yang asing dalam dunia bola sepak tempatan, apabila Ifedayo sudah pun membuktikan konsistensi beliau di hadapan gol selama dua musim bersama Selangor suatu ketika.
Malah, pemain kelahiran Nigeria itu juga sebennarnya telah pun memulakan perjalanan beliau sebelum itu bersama Felda United pada tahun 2017 sebelum mengembangkan karier di Malaysia untuk mewakili Melaka United, Selangor, serta Kedah Darul Aman.
Sepanjang beraksi di Malaysia, Ifedayo sudah pun beraksi sebanyak 78 perlawanan untuk saingan Liga Super dan merekodkan 74 gol bersama 12 bantuan jaringan bersama kelab berbeza.
Walaupun ada sesetengah pemerhati bola sepak mempertikaikan usia beliau yang semakin meningkat, Ifedayo tidak menjadikan ianya sebagai penghalang apabila penyerang lincah itu sudah membuktikannya bersama Kedah pada tahun lalu bagi aksi Liga M.
Musim lalu menyaksikan Ifedayo sudah merekodkan 13 penampilan bersama Kedah dan hanya memerlukan setengah musim sahaja buat dirinya meledak 12 gol bersama satu bantuan jaringan.
Pemenang kasut emas pada musim 2020 dan 2021 itu pastinya mempunyai sasaran tersendiri untuk memastikan dirinya terus kekal relevan di Malaysia bersama PDRM kali ini.
“Ini adalah pramusim dan saya berharap minggu depan sebelum saingan liga bermula saya akan menajamkan pedang saya dan lakukan apa yang perlu untuk bersedia sepenuhnya menjelang perlawanan pertama.
“Saya rasa di Selangor saya hanyalah satu-satunya pemain penyerang dan hampir lima pemain perancang yang sedia membantu saya. Dan begitu juga di Kedah banyak pemain di bahagian tengah juga banyak membantu.
“Apabila beraksi di atas padang saya berasa seperti mereka tidak jauh dan sedia untuk membantu saya dan itu adalah perkara yang bagus.” kata beliau menerusi laporan Stadium Astro.
Menerusi ramai pemain lain berkualiti ditandatangani PDRM musim ini di posisi tengah dan serangan, dijangka Ifedayo sekali lagi tidak memiliki masalah untuk terus menjadi mesin gol buat pasukan tersebut.
Pandangan anda?