Penyerang Melaka United, Ifedayo Olusegun kini telah pun dipilih sebagai pemenang kepada Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM-Asiana.my bagi kategori Liga Super.
Beliau memenangi anugerah tersebut bagi edisi Julai.
Dalam sebuah majlis ringkas yang diadakan di Melaka, Ifedayo menzahirkan rasa gembira sambil mendedikasikan kemenangan ini kepada semua pihak yang berada disekelilingnya.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sepasukan dan mereka yang mengundi beliau.
“Saya tujukan anugerah ini kepada semua rakan sepasukan yang telah banyak membantu dan memberikan komitmen dalam setiap perlawanan.”
“Tidak lupa juga kepada semua ahli keluarga dan juga para penyokong yang mengundi saya.”
Ifedayo memperoleh undian tertinggi dalam kalangan 5 calon untuk anugerah peringkat bulan Julai bagi musim ini.
Beliau menewaskan 4 calon lain iaitu Rufino Segovia dari Selangor, penjaga gol Johor Darul Ta’zim iaitu Farizal Marlias, pemain Perak Nor Hakim Hassan dan juga pemain import PKNS FC – Bruno Matos.
Berikut merupakan pecahan undi kepada anugerah untuk kali ini:
- Ifedayo Olesegun (Melaka United) – 32.15%
- Rufino Segovia (Selangor) – 22.56%
- Farizal Marlias (Johor Darul Ta’zim) – 22.03%
- Nor Hakim Hassan (Perak) – 17.98%
- Bruno Matos (PKNS FC) – 2.28%
Ifedayo menerima sebuah trofi kemenangan dan sebingkai gambar pihak penaja iaitu Asiana.my dan juga wang bernilai RM1500 tajaan 139associates dan MK.
Selain itu, beliau turut menerima pelbagai hadiah lain dari para penaja yang berlainan.
Tahniah diucapkan kepada Ifedayo Olusegun di atas kejayaan yang diterima oleh beliau. Semoga terus mempamerkan aksi terbaik ini!