Umum mengetahui Manchester City adalah pasukan yang sabar ketika melakukan proses menyerang.
Mereka selalunya akan menguasai bola sehingga pihak lawan hanya mampu untuk bertahan sahaja.
Taktikal ini memberikan peluang besar untuk City memenangi perlawanan, kerana apabila menguasai bola peluang untuk berjaya itu lebih tinggi.
Tetapi ianya tetap mempunyai kelemahan.
Menurut pemain Paris Saint-Germain (PSG), Idrissa Gueye, kejayaan mereka menewaskan City dalam aksi UEFA Champions League (UCL) baru-baru ini hasil kejayaan memanipulasi kelemahan kelab England itu.
Kelemahan itu terletak kepada betapa lembapnya serangan mereka dijana.
Mesti kekal teguh
Pada pandangan Gueye, apa yang perlu dilakukan untuk menentang seperti City adalah dengan terus utuh apabila diserang.
Kuncinya adalah pada persembahan berpasukan, kerjasama yang kuat perlu ada untuk menang.
“Apa yang paling penting adalah persembahan keseluruhan pasukan.”
“Kami perlu menyerang sebagai sebuah pasukan, dan bertahan juga seperti sebuah pasukan.”
Gueye yang turut menjaringkan gol untuk PSG di separuh masa pertama mengatakan sesebuah pasukan perlu menang di bahagian tengah padang untuk menewaskan City.
“Kita perlu kekal kompak di bahagian tengah dan menggunakan semua peluang untuk menyerang balas dengan menjaringkan gol.”
“Pasukan kekal teguh. Ianya bukan perlawanan yang mudah tetapi kami berjaya bertahan dengan baik.”
“Perlawanan ini adalah mudah untuk bertahan kerana Manchester City tidak begitu laju ketika menyerang.”
Gueye membuka jaringan menerusi rembatan deras pada minit ke-8 sebelum Lionel Messi menyumbat gol pertamanya bersama PSG pada separuh masa kedua.