Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pengesahan mengenai identiti pengadil dari Jepun yang akan mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019, membabitkan pasukan Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.
Namun perkongsian daripada laman Twitter yob4ever.com ini menarik perhatian kami dan ramai lagi pemerhati bola sepak tempatan – terutama penyokong Perak dan Kedah.
Pengadil untuk perlawanan Piala FA pada tahun ini menjadi perhatian selepas Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersepakat untuk membawa pengadil dari luar negara bagi mengendalikan perlawanan akhir.
Deme udah sampei Malaysia pic.twitter.com/a3U7psivld
— yob4ever.com (@yob4e) July 24, 2019
Ini merupakan pertama kali perlawanan pertandingan domestik melibatkan pengadil dari luar negara.
“Deme udah sampai Malaysia,” tulis yob4ever.com di akaun Twitter mereka. Jika benar individu-individu di dalam gambar tersebut adalah pengadil yang dijemput untuk mengendalikan perlawanan akhir nanti, siapakah gerangannya mereka?
Menurut perkongsian daripada Vocket FC pula, mereka adalah pengadil-pengadil dari Jepun yang berkemungkinan akan mengadili perlawanan akhir itu nanti.
Antara individu yang dikenali di dalam perkongsian oleh yob4ever.com ialah pengadil berusia 38 tahun, Takuto Okabe.
Menurut Vocket, Takuto Okabe adalah salah seorang pengadil berpengalaman yang pernah mendapat lencana pengadil kelas tertinggi daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) pada tahun 2006.
Turut kelihatan ialah penjaga garisan, Yagi Akane, dan Nomura Osamu.
Ketiga-tiga pengadil mempunyai pengalaman luas sebagai pengadil perlawanan besar di Jepun dan antarabangsa. Perlawanan akhir Piala FA ini juga bukan perlawanan jemputan pertama yang pernah dikendalikan oleh mereka.
Takuto Okabe misalnya pernah mengendalikan perlawanan yang dianggap panas di Liga Australia membabitkan Brisbane Roars menentang Newcastle Jets pada 2014, dan perlawanan liga divisyen 1 Vietnam (V1 League) di antara Becamex Binh Duong menentang Hanoi T&T pada tahun 2015.
MFL melalui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam turut mengesahkan ketiga-tiga pengadil akan dibantu oleh seorang pengadil tempatan untuk mengendalikan perlawanan tersebut.