Siapa sangka pasukan sekecil Iceland mampu meningkat mendadak dalam masa 2 tahun terakhir ini. Mereka berjaya mengejutkan dunia dengan aksi bertenaga di Euro 2016 yang lalu.
Negara ini hanya memiliki populasi sekitar 335,000 sahaja. Dilaporkan hampir 10% penduduk negara mereka berada di Perancis untuk menyaksikan Euro yang lalu.
Sebelum itu ada mulut-mulut menganggap mereka layak ke Euro sebab nasib kerana pertambahan jumlah pasukan. Tetapi kini pasukan Iceland hanya dibezakan dengan 1 kemenangan sahaja daripada Piala Dunia pertama dalam sejarah negara mereka.
5 Tahun yang lalu, pasukan Iceland berada di ranking ke-131 dunia. Pada hari ini mereka berada di ranking ke-22 dunia ataupun ranking ke-15 di Eropah. Ianya peningkatan sebanyak 12 anak tangga daripada yang sebelum ini (ranking ke-34).
Semalam mereka menewaskan Turki dengan jaringan 0-3 di tempat lawan. Gol-gol Iceland dijaringkan oleh Johann Gudmunson, Birkir Bjarnason dan Kari Arnason.
Sebelum ini, mereka menewaskan pasukan pilihan Croatia dengan 1-0. Kemenangan yang menjadi motivasi berharga untuk mereka berhadapan dengan pasukan paling lemah di dalam kumpulan I iaitu Kosovo.
Jika mereka menang ke atas Kosovo pada Isnin ini, mereka akan mara ke Piala Dunia Rusia 2018 yang sebelum ini tidak pernah dimimpikan oleh penyokong mereka.
Nampaknya, kita akan menyaksikan ‘viking clap’ di Rusia selepas ini. Apa yang pasti ini adalah generasi emas dan generasi terbaik yang pernah dilahirkan oleh Iceland dalam sukan bola sepak.
Diharap negara kita yang berpopulasi lebi 31 juta ini dapat mengambil motivasi daripada berita ini.
Kepada anda yang merupakan pengumpul barangan bola sepak, jangan lupa jersi Iceland. Ia antara kenangan terindah dalam bola sepak selepas ini.