Pengurus Juventus, Maurizio Sarri menyifatkan bahawa skuad Tottenham Hotspur kelihatan lebih bersedia untuk menghadapi musim baharu berbanding anak buahnya.
Pada aksi kedua-dua pasukan dalam saingan International Champions Cup 2019 di Stadium Nasional Singapura kelmarin, pasukan yang berpangkalan di London itu kelihatan cukup berbahaya dalam mengatur gerakan ke kubu Juventus.
Perlawanan juga berkesudahan dengan kemenangan 3-2 memihak skuad yang dibimbing Mauricio Pochettino itu.
Walaupun ia hanyalah aksi pemanas badan, Sarri melihat kelab lawan tersebut menyukarkan permainan anak buahnya yang diketuai Cristiano Ronaldo.
”Perlawanan yang sukar hari ini (kelmarin). Persiapan untuk perlawanan ini cuka cukup sukar.”
”Tottenham sangat cepat dan lebih pantas tetapi ia perkara biasa kerana mereka hanya tinggal dua minggu untuk memulakan musim baharu berbanding kami.”
”Jadi, mereka berada dalam keadaan lebih bersedia. Kami perlu meningkatkan aksi pada babak pertama. Tekanan dilakukan kami tidak cukup tinggi.”
”Kami tidak berjaya mempertahankan kedudukan ketika menyerang. Kami terlalu jauh ke belakang. Kami semakin baik pada separuh masa kedua.”
Sarri bagaimanapun turut memuji permainan anak buahnya terutamanya ketika The Old Lady berjaya menghasilkan dua jaringan selepas aksi kembali bersambung dan mengulas mengenai dua rekrut terbaru pasukan.
”Kami menikmati 20 minit yang baik di mana kami berjaya menjaringkan dua gol. Dan kami dibolosi kerana kehilangan penguasaan bola, penguasaan hilang, ia mencerminkan keperluan kami untuk persiapan musim ini.”
” (Adrien) Rabiot menunjukkan prestasi yang baik hari ini (kelmarin), Buat (Mattijs) De Ligt, ia akan mengambil sedikit masa untuk bersama pasukan kerana dia baru sahaja menyertai latihan pasukan semalam tetapi gembira kerana memilikinya di sini (Juventus).”
Kredit foto: International Champions Cup