“Redha Allah terletak pada redha kedua ibu bapa.” Itulah petikan hadis sahih riwayat al-Tirmizi yang menjelaskan hubungan seorang anak dengan ibu bapanya yang mempunyai kaitan dengan hubungannya kepada Allah.
Berikutan kontroversi penyerang Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid yang dilanda kemerosotan prestasi di atas padang dan dikaitkan dengan isu hubungan cintanya dengan seorang pelakon, Harian Metro telah menemubual keluarga Safawi bagi mendapatkan komen dan maklum balas mereka.
Ibu kepada pemain kelahiran Terengganu itu, Salemah Abu Bakar menjelaskan, beliau berharap Safawi lupakan terlebih dahulu soal kahwin dan utamakan kerjayanya.
TMJ: Hanya Yang Terbaik Untuk Kerjaya Safawi https://t.co/P4zVEQYESR pic.twitter.com/UkKTK6fKoa
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 6, 2020
Menurut Salemah, Safawi perlu mendahulukan lebih banyak perkara yang menjadi keutamaan dalam hidup dan kerjayanya termasuk tanggungjawab kepada keluarga, majikan dan negara.
“Tahun lalu, Syifa ada dua kali datang ke rumah, pada mak cik, Syifa baik orangnya, tetapi mak cik tak tahu dia pelakon kerana tak pernah tengok drama lakonannya sebelum ini.
“Tiga minggu lalu, Awi ada hubungi mak cik untuk bertanya khabar, pada masa sama dia memaklumkan ingin berkahwin.
“Namun, mak cik cakap, ‘bukan mak tak restu, cuma mahu Awi tumpu kerjaya dulu, simpan duit dan selesaikan beberapa cita-cita yang diimpikan selama ini,” katanya.
Tambah Salemah lagi, usia Safawi yang baru sahaja menginjak 23 tahun belum sesuai untuk berumahtangga dan menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
Beliau turut mengingatkan Safawi mengenai impiannya untuk menyara dua adiknya yang masih bersekolah. Malah Safawi juga pernah menyatakan hasratnya untuk besarkan pusat pengajian al-Quran di Rantau Abang dan juga membina rumah kebajikan untuk warga tua.
“Sebaiknya dia laksanakan impiannya dulu baru fikir soal kahwin. Bagaimanapun, saya tidak mampu menolak dan berserah kerana soal jodoh, ajal, maut itu semua terletak di tangan Allah.
“Kalau boleh mak cik nak pasangan Awi lebih muda daripadanya. Mak cik tak memilih calon menantu, kalau boleh nak menantu yang ramah, kecoh-kecoh sikit atau miskin tak apa janji kaya budi bahasa dan boleh diterima ahli keluarga kami, “katanya lagi.
Sementara itu, bapa Safawi, Rasid Sulong yang turut ditemubual berpesan kepada Syifa supaya tidak mendesak anaknya supaya segara berkahwin kerana tumpuan Safawi ketika ini seharusnya untuk menaikkan nama JDT dan negara.
“Lupakan dulu soal jodoh, Awi masih muda kumpul duit main bola, kita tak tahu kerjaya akan bertahan sampai bila. Saya tak mahu dia jadi seperti saya, kehidupan saya dan isteri sangat susah membesarkan 13 anak dengan gaji RM350 sebagai penjawat awam.
“Saya terpaksa buat kerja sambilan, Awi tahu kerana saya selalu mengajaknya membantu, sebab itu saya selalu berpesan padanya ‘kita susah tak akan ada orang yang sudi bantu,” katanya.
Kredit Foto: Instagram safawirasid29