Pekhabaran mengaitkan bekas penyerang antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic akan menyertai LA Galaxy di Amerika Syarikat telah bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu.
Dan pemain itu telah dilepaskan oleh Manchester United dalam satu kenyataan oleh kelab tersebut pada awal pagi tadi.
Adakah ini bermakna Ibrahimovic sah akan beraksi di Major League Soccer (MSL)?
Sumber ESPN mengatakan Ibrahimovic telah bersetuju untuk menerima tawaran kontrak selama 2 tahun bersama kelab MSL itu, setelah kontrak asal pemain itu bersama United yang sepatutnya tamat pada Jun akan datang dibatalkan atas persetujuan kedua-dua pihak.
LA Galaxy dilaporkan akan membayar gaji Ibrahimovic sebanyak US$ 3 juta menggunakan peruntukan khas untuk membayar pemain tersebut.
MSL menetapkan peraturan pemain berpendapatan tinggi dengan slot khas di dalam liga domestik di negara tersebut; dan Ibrahimovic tidak didaftarkan di atas kuota tersebut.
Kuota tersebut kini diisi oleh Giovani dos Santos, Jonathan dos Santos dan Romain Alessandrini oleh LA Galaxy.
Menurut sumber, perjanjian tersebut dilaporkan akan diumumkan pada hujung minggi ini, dan ini membenarkan penyerang berusia 36 tahun itu melakukan penampilan pertama seawal 31 Mac ini menentang musuh setempat, Los Angeles FC.
Ibrahimovic yang menyertai Manchester United dari Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma pada 2016, tidak beraksi bersama kelab itu sejak kecederaan lutut menentang Burnley pada 26 Disember lalu.
Menjelang 4 bulan sebelum kontrak bersama United tamat, Jose Mourinho dikatakan bersetuju melepaskan pemain itu untuk membenarkan beliau berpindah ke MLS.
“Semua pihak di Manchester United mengucapkan terima kasih kepada Zlatan atas sumbangan beliau sejak tiba di sini, dan mengucapkan selamat maju jaya untuk perjalanan seterusnya,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh Manchester United pagi tadi.
Ibrahimovic turut memuatnaik satu kenyataan di laman Instagram dengan berkata:
“Perkara terhebat juga akan melalui pengakhiran, dan kini masa untuk terus melangkah ke hadapan selepas 2 musim yang menakjubkan bersama Manchester United.”
“Terima kasih kepada pihak kelab, penyokong, jurulatih dan kakitangan kelab dan semua pihak yang bersama-sama mencipta sejarah di sini,” ujar Ibrahimovic.
Walaupun hanya beraksi tidak sampai dua musim bersama United, Ibrahimovic telah tampil di dalam 53 perlawanan, dan menjaringkan 29 gol untuk kelab Manchester itu.
Ibrahimovic turut membantu Manchester United menjulang Piala Komuniti, Piala Carabao (EFL), dan trofi UEFA Europa League (UEL) sepanjang tempoh itu.
Selamat maju jaya Zlatan Ibrahimovic!