Quantcast

BERITA

Ibrahimovic Tepis Dakwaan Carlos Vela Adalah Pemain Terbaik Di MLS

Jika anda merupakan pengikut liga Amerika Syarikat iaitu Major League Soccer (MLS), siapakah pemain terbaik bagi anda?

Pandangan ini mungkin berbeza-beza mengikut orang, tapi bagi Zlatan Ibrahimovic beliau jelas mempunyai pilihannya sendiri.

Menurut laman ESPN, Ibrahimovic mengatakan yang beliau sendiri merupakan pemain paling handal dalam saingan bola sepak Amerika Syarikat itu mengatasi para pemain lain.

Hal ini berlaku selepas beliau ditanya adalah penyerang Los Angeles FC (LAFC) iaitu Carlos Vela merupakan pemain terbaik di saingan MLS sekarang.

“Saya merupakan pemain terbaik di Major League Soccer, ketara sekali. Adakah beliau (Carlos Vela) berada di puncak karier?”

“Jika ya, berapa umurnya? 29 tahun? Beliau berusia 29 tahun dan bermain di Amerika Syarikat. Saya ketika berusia 29 tahun bermain di Eropah – besar perbezaan itu.”

Ketika ini, Vela merupakan pemain liga yang terbaik menerusi kiraan statistik apabila pemain kebangsaan Mexico itu menjaringkan 19 gol.

Sementara Ibrahimovic hanya menjaringkan 13 gol sahaja.

Kenyataan itu disuarakan oleh Ibrahimovic selepas ditanya menjelang aksi Los Angeles Derby antara pasukannya iaitu Los Angeles Galaxy (LA Galaxy) menentang LAFC.

Selain daripada mendahului senarai penjaring, Vela yang juga bekas penyerang Arsenal merupakan pendahulu kepada carta pembantu gol (assist leader) dengan 8 bantuan.

LAFC mendahului carta MLS zon barat dengan mengutip 46 mata daripada 20 perlawanan.

Sementara LA Galaxy ditangga ke-3 apabila mengutip 34 mata daripada 20 perlawanan.