Berita baik hadir tepat pada masanya di saat Manchester United masih memerlukan kemenangan untuk mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris ketika ini iaitu Manchester City.
Penyokong The Red Devils itu berpeluang melihat gandingan Zlatan Ibrahimovic dan Paul Pogba kembali beraksi ketika menentang Newcastle United, awal pagi Ahad ini.
Gandingan itu, yang menjadi tonggak kejayaan United musim lalu, kembali menjalani latihan penuh dan mungkin disenaraikan selaku pemain gantian ketika pengurus Jose Mourinho merancang untuk mengembalikan mereka ke skuad utama.
Ibrahimovic tampil dengan pemulihan menakjubkan susulan kecederaan ligamen lutut yang mengancam kariernya April lalu manakala Pogba berdepan kecederaan kurang serius tetapi sudah tersisih sejak pertengahan September lalu selepas otot hamstringnya koyak.
Ketika ketiadaan mereka, United tetap beraksi baik tetapi kepulangan kedua-duanya akan menambah sengat United yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim ini.
Ibrahimovic dalam satu temu ramah di negaranya berkata, dia akan kembali lebih kuat.
“Saya bertekad untuk kembali lebih baik dan kuat berbanding sebelum ini,” kata Ibrahimovic dengan United ketika ini ketinggalan lapan mata di belakang Manchester City.
“Itu sasaran saya dan ia akan berlaku. Tiada pilihan lain. Apabila saya memutuskan untuk melakukan sesuatu, tiada apa yang berubah dalam minda saya.
“Saya kata saya akan mengambil alih Sweden. Saya bersarapan dan kemudian sudah mengambil alih Sweden. Ketika makan tengah hari, saya mengambil alih Eropah dan ketika makan malam, saya mengambil alih dunia. Ia rancangan saya dan itulah yang akan saya lakukan.”
Penyerang veteran itu juga berkata, dia gembira dengan prospek digandingkan bersama Romelu Lukaku bagi menjana serangan United selepas pemain Belgium itu mengambil nombor jersinya 9 sejak berpindah dari Everton.
“Saya ditanya siapa yang saya fikir terbaik dalam liga dan saya berkata Lukaku,” kata Ibrahimovic.
“Secara fizikal dia kuat dan menjaringkan banyak gol. Semua pasukan mahu pemain sepertinya. Saya lega dia berada di United. Saya fikir dia banyak membantu kami dan dia sudah lakukannya dalam tempoh yang singkat.”
Selain Ibrahimovic dan Pogba, pertahanan Marcos Rojo juga menjalani proses pemulihan yang baik susulan kecederaan ligamen lutut dan bermain untuk skuad bawah 23 tahun United, pertengahan minggu ini. – AFP