Impian UCL Manchester United Akan Diteruskan Tanpa Zlatan Yang ACL

Saingan Manchester United dalam memburu slot ke kejohanan UEFA Champions League pada musim hadapan tampak pincang dengan perkembangan terkini ini.

Laporan terkini daripada UK menyatakan Zlatan Ibrahimovic mengalami kecederaan ACL dan boleh disisihkan sehingga Januari 2018!

Ibrahimovic Tersisih Hingga Tamat Musim

Penyerang sensasi Manchester United, Zlatan Ibrahimovic dilaporkan terpaksa melupakan untuk membantu cabaran pasukannya dalam pemburuan slot ke pertandingan Eropah pada musim hadapan.

Ini adalah berikutan kecederaan lutut yang dialami penyerang dari Sweden itu ketika saingan suku akhir Europa League menentang Anderlecht pada awal pagi Jumaat lalu.

Ibrahimovic menahan kesakitan lutut

Ibrahimovic mengalami kecederaan pada lututnya pada babak akhir masa sebenar ketika kedua-dua pasukan masih terikat dengan jaringan 1-1.

Kecederaan yang menimpa Ibrahimovic memaksa Jose Mourinho mengeluarkan penyerang itu dengan memasukkan Anthony Martial.

Kecederaan yang dialami oleh Ibrahimovic berlaku apabila dia cuba menyeimbangkan diri setelah bersaing untuk mendapatkan bola. Lutut beliau kelihatan seperti tidak dalam keadaan yang selesa ketika saingan dilakukan.

United Hilang Kualiti Zlatan

Selepas tamat perlawanan yang dimenangi oleh United dengan jaringan 2-1 selepas masa tambahan (agregat 3-2).

Jose Mourinho turut mengakui keadaan penyerang utama pasukannya itu adalah “negatif” selepas dikeluarkan pada minit ke-91 masa kecederaan perlawanan terbabit.

Setelah menjaringkan 17 gol dan menyumbang 5 bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kehilangan Zlatan Ibrahimovic untuk baki saingan skuad The Red Devils pasti satu kehilangan yang besar buat pasukan Manchester itu.

Pada usia 35 tahun, Ibrahimovic menyesuaikan diri dengan bola sepak Liga Inggeris dengan penuh gaya.

Ibrahimovic memiliki kekuatan fizikal, teknik dan kualiti luar biasa ketika berada di dalam kotak penalti lawan untuk menjadi jentera pemusnah paling ampuh United pada musim ini.

Kehilangan Ibrahimovic sehingga tamat musim ini boleh merencatkan impian United untuk bermain di pentas UEFA Champions League pada musim hadapan.

Impian Ke UCL

Man Utd kini sedang sibuk dengan saingan mengejar empat posisi teratas liga dan telah diundi bertemu dengan Celta Vigo di saingan separuh akhir Europa League.

Kelebihan Man United pada masa ini ialah mereka punyai dua laluan untuk melayakkan diri ke saingan UEFA Champions League pada musim hadapan.

Pemerhati bola sepak dan bekas pemain seperti Rio Ferdinand dan Ryan Giggs mengesahkan laluan United tampak lebih realistik di pentas Europa League.

Bagaimanapun, Jose Mourinho tetap menegaskan sasaran United ialah untuk menjuarai Europa League dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di empat posisi teratas.

Sebelum ini, juara 20 kali Liga Perdana Inggeris ini turut kehilangan pemain tengah, Juan Mata sehingga tamat musim ini. Jose Mourinho turut berdebar dalam menunggu keputusan fisio mengenai kecederaan yang menimpa Marcos Rojo.

Bagaimanapun, bagi kebanyakkan peminat United, mereka tetap merasa optimis. Bintang muda England, Marcus Rashford tampak seperti telah menemui sentuhan yang dimilikinya musim lalu.

Gandingan Pogba dan Herrera tampak semakin serasi dengan Henrikh Mkhitaryan akan disandarkan tugas sebagai perancang utama pasukan untuk baki saingan yang tinggal.

Mampukah Manchester United menamatkan musim ini dengan berjaya melayakkan diri ke UEFA Champions League musim hadapan tanpa Zlatan Ibrahimovic?

Baca juga: Video: Rabona Rashford Dan Sepakan Gunting Pogba Hampir Menghasilkan Gol

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN