Nasib Kedah Darul Aman (Kedah) sememangnya menjadi sangat malang sejak tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) belum pun bermula dengan isu kewangan menjadi topik utama kelab berkenaan.
Terkini, situasi kewangan mereka dilihat tiada berkesudahan walaupun sudah memasuki tahun 2025 dengan laporan semasa menyatakan mereka kehilangan tiga lagi pemain tonggak yang sudah pun mengucap selamat tinggal sebentar tadi iaitu Faiz Nasir (pinjaman Terengganu), Claylton dos Santos, serta Sukhrob Nurullaev.
Situasi itu menyaksikan kini Sang Kenari sudah pun kehilangan sebahagian besar pemain utama mereka dengan empat import sudah pun mengucapkan selamat tinggal.
Dengan pemergian Claylton dan Sukhrob, kini Kedah hanya memiliki dua sahaja lagi pemain import yang masih kekal dan entah sampai bila akan terus bertahan bersama pasukan berkenaan.
Dua pemain import tersebut yang masih kekal ialah Ebenezer Assifuah serta Milos Gordic selain beberapa lagi tonggak tempatan masih bersama pasukan tersebut untuk bersama-sama melalui masa suram mereka di sana.
Segala kemelut yang melanda Kedah kini hanya berpaksikan kepada satu perkara sahaja iaitu kewangan sehingga menyaksikan banyak masalah-masalah lain turut menghimpit mereka.
Jika tahun 2023 menjadi episod gelap buat Kelantan TRW, maka musim ini segalanya berkisarkan kepada Kedah sahaja walaupun ada kelab-kelab lain turut dihimpit kemelut sama.
Tumpuan lebih terarah kepada Sang Kenari kerana masalah yang dihadapi mereka dianggap cukup besar dan ada laporan menyatakan mereka culas membayar gaji kepada pemain sejak berbulan lamanya.
Selepas menjadi sebagai salah satu kelab palinh berjaya di Malaysia, tiada siapa sangka sehingga sebegini rupa nasib telah menimpa pasukan berkenaan.
Jika buka sahaja di media sosial atau laporan setempat, boleh dianggap tiada langsung cerita yang positif untuk didendangkan kepada peminat mengenai keadaan semasa mereka.
Mujur masih ada pemain serta kejurulatihan yang terus bersatu hati untuk berusaha memberi keputusan terbaik buat kelab sesekali sebagai tanda kenangan peminat.
Saingan Liga M musim ini juga tidak lama lagi bakal menamatkan cabaran mereka dan nasib Kedah terus menjadi tanda tanya jika mereka masih mampu diselamatkan, atau terus berkubur selamanya.
Sehingga artikel ini ditulis, masih tiada sebarang petanda pasukan itu sekurangnya untuk mendapat sedikit talian hayat daripada sumber kewangan dan kami menjangkakan mereka tidak lagi mampu untuk kekal berpanjangan sehingg akhir musim.
Apapun, kami doakan Kedah untuk sekurangnya kembali pulih sedikit dan setiap pemain pengganti yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan bekas tonggak itu mampu bertahan sehingga ke garisan penamat.
Foto: Aizat Fadziya Semuanya BOLA