‘Ibarat Angan-Angan Mat Jenin’ – Cheng Hoe Akui Kesilapan Utama Harimau Malaya Sebelum Piala AFF

“Dilumat tanpa ampun” – demikianlah antara ulasan media Indonesia mengenai kejayaan skuad kebangsaan mereka membelasah Malaysia 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B pada malam tadi.

Kekalahan tersebuit sekali gus bermakna pasukan negara akan pulang awal. Manakala Indonesia pula meneruskan pengembaraan mara ke separuh akhir berhadapan Singapura.

Penyingkiran awal pasukan negara daripada kejohanan tersebut turut tidak lari menjadi perhatian media Indonesia. Apa tidaknya.

Perlawanan yang kita semua tahu sentiasa panas dibakar api perseteruan ‘derbi nusantara’, dan dijangka berlangsung dengan sengit berakhir dengan kemenangan mudah buat skuad Garuda.

Harimau Malaya yang bermula dengan agak baik pada 13 minit pertama perlawanan kemudiannya ibarat terjerat – dan terus gagal keluar daripada perangkap sehingga terkapai-kapai ‘putus nafas’ sendirian.

Alasan Tan Cheng Hoe curi perhatian

Pendedahan Tan Cheng Hoe mengapa pasukan Malaysia tewas mudah dan gagal mara ke separuh akhir turut berjaya mencuri perhatian media.

Tatkala kebanyakkan media di Malaysia mendedahkan punca kekalahan Malaysia kepada Indonesia adalah disebabkan ketiadaan dua tongak pertahanan, Aidil Zafuan dan Shahrul Saad, media indonsia menggariskan perkara lain yang menjadi akar kepada kegagalan Malaysia di kejohanan edisi kali ke-13 ini.

“Skuad Indonesia dan Vietnam memiliki persiapan (menjelang Piala AFF 2020) yang bagus. Mereka melalui latihan pusat yang sempurna dan inilah hasilnya,” kata Tan Cheng Hoe seperti yang dipetik daripada IndoSport.

“Sayangnya kami (Malaysia) tidak memiliki persiapan sebaik mereka (pasukan Indonesia dan Vietnam) yang berguna menghadapi sukarnya pertandingan di Piala AFF 2020.”

Persiapan pincang

Apa yang dikatakan oleh Tan Cheng Hoe seperti yang dilaporkan media Indonesia ada benarnya. Berbeza dengan skuad kebangsaan Indonesia dan Vietnam, pasukan negara hanya dapat dikumpulkan seawal 22 November lalu.

Itu pun hanya melibatkan pemain yang pasukannya telah tersingkir daripada saingan suku akhir Piala Malaysia. Baki pemain-pemain lain hanya menyertai kem negara selepas perlawanan akhir Piala Malaysia pada 30 November.

Pertandingan yang berlanjutan sehingga penghujung November tersebut turut menyaksikan beberapa pemain utama seperti Akram Mahinan, Kenny Pallraj, selain Darren Lok terpaksa digugurkan akibat kecederaan.

Hanya selepas beberapa hari dikumpulkan, skuad negara kemudiannya diterbangkan ke Singapura pada 3 Disember, sebelum memulakan cabaran menentang Kemboja pada 6 Disember.

Berbeza dengan Indonesia, pasukan itu sempat berkunjung ke Turki dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana dalam rangka persiapan mereka sebelum ke Singapura.

Park Hang-seo pula tidak menghadapi masalah besar kerana sering bersama barisan pemainnya menghadapi pusingan ketiga Piala Dunia 2022.

Anehnya dengan persiapan sebegitu rupa, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan yakinya mensasarkan untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir pertandingan ini.

Rumusan

Kami yakin ada banyak lagi sebab mengapa Malaysia gagal menyerlah di pertandingan Piala AFF kali ini sekiranya post-mortem menyeluruh dilakukan.

Apa yang dikongsikan oleh media Tan Cheng Hoe kepada media Indonesia adalah salah satu daripadanya.

Jika sebelum ini pihak FAM dan MFL boleh sahaja bekerjasama menangguh atau mengatur jadual pertandingan domestik demi kebaikkan pasukan negara, anehnya untuk edisi Piala AFF kali ini ia tidak dilakukan.

Benar, kita mahu target yang lebih besar seperti pentas Asia. Tetapi jika persiapan kita untuk pertandingan yang lebih kecil seperti Piala AFF pun carca marba, impian itu hanyalah ibarat angan-anang Mat Jenin.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN