Pemain sayap lincah Manchester City, Jack Grealish menjadi salah seorang pemain yang mencipta sejarah tersendiri buat pasukannya selepas membantu kelab tersebut menjuarai saingan UEFA Champions League (UCL) musim ini.
City yang tampil cemerlang sejak awal musim menerusi beberapa rombakan kecil dibuat menjadi salah satu pasukan pilihan musim ini untuk menjuarai UCL bawah kendalian Pep Guardiola.
CHAMPIONS OF EUROPE!!! 🏆 pic.twitter.com/n8dXDvOZyp
— Manchester City (@ManCity) June 10, 2023
Tampil dengan kemenangan 1-0, jaringan tunggal pemain tengah mereka iaitu Rodri sudah cukup untuk membantu City muncul selaku juara bagi mengetepikan cabaran Inter Milan.
Malah, kelibat Grealish yang beraksi penuh menjadi tumpuan penuh selepas beliau menjadi antara pemain yang sangat rajin menyusun gerakan serta membantu pertahanan ketika situasi diserang.
Untuk dirinya, pasti ia merupakan sesuatu sangat berharga selepas pemain kelahiran England itu menyertai City pada tahun 2021 dengan harapan sangat tinggi diletakkan peminat.
Ini kerana kejuaraan UCL merupakan salah satu trofi yang menjadi idaman semua pemain bola sepak yang beraksi di Eropah dan Grealish menjadi antara bertuah untuk mendakapnya bersama City.
Jelas Grealish, beliau sangat beremosi dan sangat gembira selepas membantu City untuk menjuarai saingan UCL di peringkat akhir selepas membenam cabaran Inter Milan.
“Ini adalah apa yang ada usahakan selama ini seumur hidup. Sangat gembira. Tapi saya beraksi dengan buruk hari ini, ianya sangat dahsyat.
“Untuk memenangi kejuaraan ‘treble’ bersama sekumpulan pemain dan staf di sini saya sumpah, ianya sangat istimewa.
“Semua orang yang mengenali saya tahu bagaimana pentingnya keluarga serta bola sepak dalam hidup ini. Ini apa yang saya kerjakan sepanjang karier.
“Anda akan berfikir kembali untuk semua orang yang membantu saya selama ini. Bila lihat ahli keluarga saya dalam kalangan penyokong yang ramai di sini, ianya sesuatu sangat beremosi.
“Saya cuma mahu ucapkan terima kasih kepada Pep Guardiola kerana menjadikannya ini sebagai realiti buat diri ini serta City.
“Dia letakkan kepercayaan tinggi kepada saya, dapatkan saya dengan nilai sangat tinggi, dan tahun lalu saya beraksi buruk dia tetap pertahankan saya,” jelas Grealish menerusi Sportbible.
Jack Grealish with his first Champions League trophy. pic.twitter.com/zGgU5bJ055
— City Report (@cityreport_) June 10, 2023
Selain menjuarai UCL, Grealish bersama rakan sepasukan lain juga memastikan mereka menggenggam trofi Piala FA menewaskan Manchester United minggu lalu.
Malah, mereka turut memastikan gelaran juara EPL musim ini kekal di Stadium Etihad selepas konsisten mengetepikan cabaran Arsenal di penghujung musim.
Ini merupakan satu lagi musim yang dahsyat buat City, dan ianya bertambah manis selepas Pep menutup kritikan ramai dengan menjuarai gelaran UCL selepas gagal beberapa kali.